IPOH, 7 Okt (Bernama) -- Polis sedang mengesan dua individu dipercayai mempunyai maklumat penting berkaitan satu kes bunuh yang sedang dalam prosiding mahkamah.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata kes berkenaan mempunyai kaitan dengan laporan polis 4327/2020 yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Dua saksi yang dikehendaki ialah R. Maheswary, 43, dan R. Magentharan, 34, yang berkaitan dengan kes berkenaan dengan nombor kes AA-45B-4/09/2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata alamat terakhir yang pernah dikaitkan dengan Maheswary ialah di Taman Mas dan Taman Falim Indah, manakala Magentharan di Taman Cherry, masing-masing di Ipoh.
“Kerjasama orang awam dipohon untuk menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu pihak berkuasa mengesan dan menghubungi kedua-dua saksi berkenaan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat BSJD, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Inspektor P. Munesuwari di talian 016-5921325,” katanya.
-- BERNAMA