KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Penguasaan terhadap teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) adalah satu kemestian bagi umat Islam untuk mengelakkan mereka terus tercorot dalam arus kemajuan dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata cabaran hakiki masa kini ialah bagaimana memanfaatkan lonjakan teknologi seperti pengkomputeran kuantum, AI dan kepantasan pendigitalan namun pada masa sama, kekal berakar umbi kepada kekuatan iman, akhlak serta sahsiah diri.
"Umat yang meninggalkan kecerdasan buatan sebagai ilmu dan pengetahuan baharu akan tercorot tetapi kefahaman AI kita itu tidak semestinya menciplak, mencedok sepenuhnya dari negara asing apatah lagi negara Barat.
"Nilai kita mesti kita pertahankan... jangan (terikut-ikut) kerana mendambakan perubahan, menginginkan ilmu kecerdasan buatan dan lain-lain tetapi mesti terikat kepada landasan kekuatan dan apa yang disebut ‘turath’, legasi kita, khazanah kita," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 di Pusat Dagangan Dunia di sini malam ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau juga berkata sebarang lonjakan pertumbuhan ekonomi dan agenda modenisasi seperti transformasi digital tidak akan mampu digerakkan tanpa asas keamanan serta kemuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama..
Mengulas hubungan sesama insan berlandaskan al-Quran, Perdana Menteri berkata kitab suci itu menuntut umat untuk saling mengenali dan menghormati kepelbagaian demi memupuk keharmonian sejati.
“Sebab itu dalam mengejar perubahan, kita tidak boleh lari daripada semangat membawa kebaikan dan rahmat... dakwah ini mesti dicetuskan dari semangat kasih sayang, bukan untuk mendabik dada tunjuk kepintaran dan kepandaian kita.
“Keamanan ini kerana muafakat yang tercapai dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam di negara kita... tidak ada negara di dunia yang boleh bicara soal pertumbuhan ekonomi serta pembangunan tanpa semangat perpaduan dan keamanan,” katanya.
MTHQA ke-66, yang berlangsung dari 6 hingga 10 Okt, membawa tema “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” dan menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara melibatkan 25 peserta tilawah serta 25 peserta hafazan.
Malaysia diwakili oleh Mohamad Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dan Nur Syakura Mohamad Musa bagi kategori Tilawah manakala Muhammad Izzul Afnan Sazali serta Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam untuk kategori Hafazan.
-- BERNAMA