Am 06/10/2026 09:36 PM

AcroSeeker Bantu Petani Kenal Pasti Masalah Tanaman, Syor Racun Sesuai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AcroSeeker Bantu Petani Kenal Pasti Masalah Tanaman, Syor Racun Sesuai
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga,kanan) menyempurnakan pelancaran aplikasi pintar AcroSeeker sempena Persidangan Padi Sarawak 2026, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING, 6 Okt (Bernama) -- Aplikasi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI), AcroSeeker membantu petani mengenal pasti masalah tanaman dengan lebih tepat, serta mendapatkan cadangan racun perosak bersesuaian, sekali gus mengurangkan risiko penggunaan bahan kimia secara berlebihan.

Ketua Pembangunan Produk dan Inovasi Agricultural Chemicals (M) Sdn Bhd Alan Yeow berkata aplikasi berteknologi Jepun itu, turut disesuaikan dengan jenis tanaman dan masalah pertanian di Malaysia, termasuk padi, sayur-sayuran, durian dan kelapa sawit.

“Dengan hanya mengambil gambar tanaman menggunakan telefon pintar, aplikasi ini boleh membantu mengenal pasti masalah dihadapi tanaman dan memberikan cadangan penyelesaian bersesuaian.

“Ini penting kerana petani kadangkala berdepan kesukaran membezakan antara serangan perosak, penyakit atau masalah nutrien, sehingga boleh menyebabkan mereka tersalah membuat diagnosis dan menggunakan racun tidak sesuai,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa The 2nd Sarawak Rice Conference (SARICON II) 2026, di sini hari ini.

Alan berkata penggunaan racun perosak yang tepat mengikut jenis dan tahap serangan, bukan sahaja membantu petani menangani masalah tanaman dengan lebih berkesan, malah berpotensi mengurangkan penggunaan racun secara berlebihan yang boleh menjejaskan alam sekitar serta nutrien tanah.

Beliau berkata perkara itu penting, kerana petani lazimnya bergantung kepada nasihat di lapangan, termasuk daripada penjual input pertanian, sedangkan masalah tanaman mungkin berpunca daripada lebih daripada satu faktor.

“Sebagai contoh, apabila melihat masalah pada tanaman padi, petani mungkin menganggap ia disebabkan siput gondang, sedangkan terdapat kemungkinan masalah lain yang perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

“Dengan adanya aplikasi ini, petani mempunyai satu lagi sumber rujukan untuk membuat diagnosis awal, sebelum menentukan tindakan sesuai,” katanya.

Alan berkata AcroSeeker turut mempunyai fungsi membantu pengguna mengenal pasti lokasi kedai berhampiran yang menyediakan racun atau produk bersesuaian, berdasarkan masalah tanaman dikenal pasti.

“Pendekatan itu selaras dengan usaha memperkukuh amalan pertanian lebih tepat dan mampan, selain membantu petani membuat keputusan berasaskan maklumat.

“Apabila petani menggunakan produk betul untuk masalah yang betul, kita dapat mengurangkan pembaziran dan penggunaan racun secara tidak perlu, pada masa sama menjaga alam sekitar serta kesihatan tanah,” katanya.

Terdahulu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan aplikasi diagnosis tanaman AcroSeeker di reruai Agricultural Chemicals (M) Sdn Bhd.

-- BERNAMA