Am 04/10/2026 06:57 PM

LTdL 2026: Naib Juara Asia LTdL, Ren Bao Kini Mahu Nikmati Percutian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LTdL 2026: Naib Juara Asia LTdL, Ren Bao Kini Mahu Nikmati Percutian
Tsen Ren Bao. fb Le Tour de Langkawi 2026

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Selepas menamatkan saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dengan pencapaian membanggakan sebagai naib juara kategori Pelumba Terbaik Asia, pelumba negara Tsen Ren Bao kini mahu melupakan seketika soal strategi perlumbaan dan menikmati percutian yang dinanti-nantikan.

Pelumba St George Continental Cycling Team berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan lapan peringkat berkenaan di kedudukan ke-25 keseluruhan Klasifikasi Individu selepas melengkapkan Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya, hari ini.

“Sekarang saya rasa ‘kosong’, tetapi bangga dapat menduduki tempat kedua. Tahun ini saya tidak berjaya mendapatkan jersi itu, jadi mungkin tahun depan saya akan cuba memburunya,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Dalam kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih), Ren Bao menamatkan saingan tiga minit 44 saat di belakang pelumba Aisan Racing Team Yuhi Todomi yang muncul juara dengan catatan keseluruhan 29 jam, empat minit dan 23 saat.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Kee Zhe Yie pula menduduki tempat ketiga klasifikasi Asia dengan catatan 29:10:21s selepas memintas adik Ren Bao, Tsen Ren Han, pada hari terakhir perlumbaan.

Antara pencapaian terbaik Ren Bao sepanjang jelajah itu ialah menjadi pelumba Malaysia pertama melintasi garisan penamat pada Peringkat 4 dari Meru Raya ke Cameron Highlands.

Beliau kemudian menamatkan Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands di kedudukan ke-30, hanya di belakang Ren Han yang membawa cabaran skuad kebangsaan.

LTdL kali ini turut membawa makna istimewa buat Ren Bao apabila mendapat sokongan bapanya Tsen Seong Hoong selain berpeluang bertemu semula dengan kakaknya selepas tiga tahun terpisah.

Mengulas kegagalan adiknya mempertahankan kedudukan podium klasifikasi Asia pada peringkat terakhir, Ren Bao berkata beliau tidak pasti apa yang berlaku kepada Ren Han, namun menyifatkan kehilangan tempat ketiga itu sebagai pengalaman penting dalam proses pembelajaran pelumba muda berkenaan.

Menurutnya, pengalaman menjadi perbezaan utama antara mereka kerana penyertaan dalam tiga edisi LTdL sebelum ini serta pelbagai perlumbaan lain banyak membantu mematangkan dirinya dari aspek taktikal.

Pengalaman itu, katanya membolehkan beliau membuat keputusan tepat ketika berlumba, selain mengelak gerakan berisiko yang boleh menjejaskan peluangnya dalam perlumbaan.

-- BERNAMA