Am 04/10/2026 08:27 PM

VNT Disyaki Salah Guna Lesen, Bawa 10 Individu Memancing Rekreasi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
VNT Disyaki Salah Guna Lesen, Bawa 10 Individu Memancing Rekreasi
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob bercakap pada sidang media di Jeti APMM Kampung Acheh di sini hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C bersama 10 individu selepas disyaki menyalahgunakan syarat lesen vesel untuk menjalankan aktiviti memancing rekreasi di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata vesel tersebut ditahan 3.06 petang pada kedudukan 1.7 batu nautika barat laut Pulau Tukun ketika aset APMM melaksanakan rondaan penguatkuasaan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati terdapat 10 warga tempatan di atas vesel berkenaan, terdiri daripada seorang tekong, seorang kru dan lapan pemancing berusia antara 16 hingga 60 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 apabila digunakan bagi tujuan selain daripada yang dilesenkan, termasuk menjalankan aktiviti memancing rekreasi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata vesel bersama kesemua individu terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke jeti APMM sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan lesen vesel dan akan terus mempergiat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap vesel beroperasi mengikut syarat pelesenan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Pengusaha serta komuniti nelayan diingatkan lesen vesel dikeluarkan bagi tujuan dan aktiviti yang ditetapkan, justeru sebarang penggunaan di luar skop yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA