VIENNA, 4 Okt (Bernama-Xinhua) -- Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC+, akan mengekalkan paras pengeluaran minyak pada November bagi bulan kedua berturut-turut, menurut OPEC dalam kenyataan pada Ahad, lapor Xinhua.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat secara maya negara anggota OPEC+ termasuk Arab Saudi, Rusia, Iraq, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman bagi menilai keadaan pasaran global serta prospek ekonomi.
"Tujuh negara yang mengambil bahagian memutuskan untuk mengekalkan paras pengeluaran yang ditetapkan bagi September 2026 untuk November 2026," menurut kenyataan itu.
Tujuh negara OPEC+ berkenaan telah meningkatkan pengeluaran minyak setiap bulan dari April hingga September tahun ini.
Pada Oktober, tujuh negara itu menghentikan sementara peningkatan pengeluaran minyak.
OPEC memaklumkan tujuh negara berkenaan akan mengadakan mesyuarat seterusnya pada 1 Nov bagi menilai keadaan pasaran dan membuat keputusan selanjutnya.
-- BERNAMA-XINHUA