Am 04/10/2026 11:19 PM

Hubungan Akrab Agong, Raja Bahrain Buka Ruang Malaysia Jadi Tuan Rumah F1 - PM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hubungan Akrab Agong, Raja Bahrain Buka Ruang Malaysia Jadi Tuan Rumah F1 - PM
fb Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Hubungan akrab Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa membolehkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah mencerminkan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap negara ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan yang dihormati dan diyakini di persada dunia.

“Saya menjunjung kasih atas kepimpinan dan kebijaksanaan Tuanku Agong serta hubungan akrab baginda dengan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, yang memungkinkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Formula 1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.

Anwar berkata beliau juga berharap kerjasama itu dapat terus memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Bahrain serta membuka ruang kepada kerjasama lebih luas yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Dalam hantaran berkenaan, Anwar berkata beliau turut mengiringi Seri Paduka Baginda menyaksikan perlumbaan berkenaan di Litar Antarabangsa Sepang bersama dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.

“Saya turut berkesempatan beramah mesra dengan tetamu diraja yang berangkat menyaksikan perlumbaan hari ini antaranya Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien serta tetamu kehormat yang lain,” kata beliau.

Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026, yang berlangsung dari 2 hingga 4 Okt, menyaksikan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun, dengan perlumbaan terakhir di litar itu diadakan pada 2017. 

-- BERNAMA