SEPANG (Malaysia), 4 Okt (Bernama-PA Media/dpa) -- Badan penggubal peraturan Formula Satu (F1) berikrar menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Grand Prix (GP) Bahrain yang ditangguhkan akibat hujan, dengan Lewis Hamilton menyifatkannya sebagai "perlumbaan Lego" selepas beberapa jentera mengalami masalah perisian, lapor PA Media/dpa.
Max Verstappen mengharungi kekecohan itu untuk meraih kemenangan pertamanya tahun ini.
Kimi Antonelli menduduki tempat kedua, manakala Lewis Hamilton melengkapkan kebangkitan cemerlang daripada kedudukan ke-18 untuk meraih tempat terakhir di podium.
George Russell yang berada di tempat ketiga terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal akibat masalah enjin, sekali gus menyebabkan impiannya untuk meraih kejuaraan dunia hampir terkubur.
Bagaimanapun, perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia dibayangi situasi memalukan dan belum pernah berlaku sebelum ini apabila jentera baharu musim ini, yang sudah menerima kritikan hebat, gagal berfungsi dengan baik dalam keadaan basah.
Permulaan perlumbaan pada awalnya sudah ditangguhkan selama 40 minit susulan hujan lebat.
Pengurusan F1 kemudian terpaksa membatalkan permulaan perlumbaan apabila beberapa pemandu termasuk Verstappen dan Hamilton mengalami masalah teknikal ketika pusingan formasi, dengan masalah itu dikaitkan dengan pembahagian kuasa 50-50 antara enjin pembakaran dan kuasa bateri yang menjadi kontroversi sehingga jentera mereka gagal berfungsi.
Verstappen yang bermula di petak utama menjadi pemandu pertama mengadu jenteranya tidak dapat memecut. Pergerakannya yang perlahan kemudian memberi kesan kepada pemandu lain, dengan Hamilton yang berada di belakang Verstappen turut mengalami masalah pada jentera Ferrarinya.
"Saya menekan pedal minyak tetapi tiada apa-apa berlaku," kata Hamilton sebelum memberhentikan jenteranya di tepi litar.
Beberapa pemandu lain turut bergelut memastikan enjin mereka terus berfungsi dalam aksi kompetitif pertama dalam keadaan basah bagi generasi jentera berkenaan.
Verstappen, yang pernah mengancam untuk meninggalkan sukan itu kerana tidak menyukai peraturan baharu, akhirnya berjaya meningkatkan kelajuan.
Beliau ketawa dan menggelengkan kepala apabila melihat beberapa jentera tersadai di tepi litar.
"Lihat ini," katanya menerusi radio.
Semua jentera akhirnya kembali ke lorong pit dalam keadaan perlahan dan 53 minit lagi berlalu sebelum pegawai perlumbaan memberikan lampu hijau untuk memulakan semula perlumbaan.
Tiada penjelasan mengenai kelewatan panjang itu diberikan ketika kejadian, namun kemudian diketahui bahawa perisian baharu perlu dimuat turun ke dalam jentera.
Dua pusingan kemudian dilakukan di belakang kereta keselamatan sebelum perlumbaan dimulakan dari petak permulaan.
Verstappen menerima bendera penamat dengan kelebihan 2.3 saat di depan Antonelli.
"Enjin ini sangat rumit dan banyak perisian digunakan," kata Verstappen ketika mengulas kekecohan yang kembali meletakkan peraturan kontroversi sukan itu dalam perhatian.
"Saya yang mengalaminya terlebih dahulu, kemudian saya melihat cermin dan terfikir, 'Tunggu, adakah mereka sedang menunggu saya?'"
Hamilton yang duduk bersebelahan Verstappen pada sidang media selepas perlumbaan berkata: "Ia seperti perlumbaan Lego (sebelum Grand Prix Britain)."
Verstappen berkata: "Apa yang boleh anda katakan? Ini bukan apa yang anda mahukan untuk sukan ini."
Hamilton pula berkata: "Saya terpaksa berhenti di litar, mematikan jentera dan enjin kemudian menghidupkannya semula. Saya tidak pernah melakukannya sebelum ini. Saya harap ada pengajaran yang dapat diambil."
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan: "Ketika pusingan formasi, gabungan luar biasa antara kelajuan enjin rendah, keadaan cengkaman rendah, tetapan pengurusan tenaga ketika cuaca basah dan konfigurasi sektor Litar Sepang menyebabkan kehilangan kuasa yang tidak disengajakan pada beberapa jentera.
"Susulan itu, Jabatan Teknikal FIA menarik balik kekangan had tenaga di sektor yang terjejas menerusi kemas kini perisian yang diedarkan kepada semua pasukan ketika perlumbaan ditangguhkan akibat hujan lebat, sekali gus membolehkan pasukan membuat perubahan yang diperlukan pada unit kuasa sebelum perlumbaan bermula.
"Masalah ini tidak dikesan oleh FIA atau pasukan ketika ujian mahupun semasa pusingan menuju ke petak permulaan. FIA bersama pasukan dan pengeluar unit kuasa akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap masalah ini."
Kegagalan Russell menamatkan perlumbaan menyaksikan beliau kini ketinggalan 84 mata di belakang rakan sepasukannya dengan hanya tujuh perlumbaan dijadualkan berbaki dan maksimum 183 mata masih boleh diraih.
"Sepanjang hari terasa agak menyusahkan dengan penangguhan, bendera merah dan pusingan yang tidak berkesudahan di belakang kereta keselamatan," katanya.
"Hari ini tidak terasa seperti 'F1'. Saya juga pasti kecewa jika berada di tempat duduk penonton dan menyaksikan semua itu berlaku."
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa