KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan Kempen Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Gaza 2026 dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM5 juta bagi menyokong rakyat Palestin yang terjejas menjelang musim sejuk.
Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata kempen itu dilancarkan secara mendesak berikutan keadaan di Gaza yang dijangka semakin rumit menjelang ketibaan musim sejuk yang turut bertindih dengan bulan Ramadan.
“Kami menyasarkan untuk menghimpunkan dana sekurang-kurangnya RM5 juta dalam tempoh lima bulan sehingga April atau Mei tahun depan. Kutipan dana ini merangkumi keperluan asas seperti makanan, pakaian sejuk, ubat-ubatan, kemudahan khemah serta bekalan air bersih,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kempen itu di sini hari ini.
Beliau berkata pengagihan bantuan Fasa Pertama dijangka mula dihantar pada hujung Oktober diikuti pertengahan November serta berterusan sehingga April 2027.
Bagi memastikan bantuan sampai dengan berkesan tanpa sebarang gangguan, MAPIM menggunakan pelbagai pendekatan, antaranya penyaluran dana terus melalui rakan kerjasama tempatan yang sah di Gaza, sokongan projek NGO tempatan, kerjasama dengan agensi antarabangsa serta laluan penghantaran fizikal.
Sementara itu, pelakon merangkap pengusaha cawangan ST Rosyam Mart Datuk Rosyam Nor atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin turut menyatakan komitmen penuh menyokong usaha kempen berkenaan.
“Mewakili ST Rosyam Mart, kami menyumbang RM100,000 bagi Kempen Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Gaza ini. Selain itu, kami turut membenarkan MAPIM mempamerkan bahan publisiti kempen di kesemua 10 cawangan ST Rosyam Mart.
“Secara sukarela, saya menjadikan diri saya sebagai bahan publisiti kempen dan saya juga mengesyorkan kempen ‘RM10 Seorang Rakyat Malaysia’ untuk dijalankan di seluruh cawangan ST Rosyam Mart serta di platform media sosial saya,” jelasnya.
-- BERNAMA