Am 04/10/2026 09:56 PM

STL: Perak Bison Sasar Kelompok Tiga Terbaik Musim Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
STL: Perak Bison Sasar Kelompok Tiga Terbaik Musim Ini
Jurulatih pasukan Sepak Takraw Perak Mohd Tajuddin Ahmad

IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Juara bertahan Perak Bison meletakkan sasaran untuk menduduki kelompok tiga teratas pada saingan Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, yang dijangka bermula pada 21 Okt ini.

Ketua Jurulatih Perak Bison Mohd Tajuddin Ahmad berkata sasaran itu disifatkan realistik berikutan perubahan struktur pengurusan dan kejurulatihan pasukan, di samping penghijrahan dua pemain utama, iaitu tekong Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin serta apit kiri Aidil Aiman Azwawi ke Terengganu Turtles.

“Tekanan itu memang ada, terutama kerana Perak Bison adalah juara bertahan, tiba-tiba kami kehilangan pula pemain berpengalaman seperti Aidil yang berhijrah ke Terengganu Turtles pada musim ini.

“Di sebalik cabaran ini, saya yakin sasaran kelompok tiga teratas adalah sesuatu yang realistik berbekalkan komitmen pemain dan pihak pengurusan yang bakal membawa cabaran Perak Bison,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan majlis pelancaran jersi yang turut dihadiri kira-kira 200 penyokong Perak Bison itu.

Mohd Tajuddin ketika mengulas penyertaan apit kiri kebangsaan Amirul Zazwan Amir ke dalam pasukan itu berkata kehadiran pemain berpengalaman yang pernah beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) Thunder itu amat ditagih bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Aidil Aiman.

“Selain itu, pengalaman luas Amirul dalam skuad kebangsaan dan saingan antarabangsa mampu menyuntik kekuatan serta kestabilan baharu dalam corak permainan Perak Bison,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa pasukan, khususnya Negeri Sembilan Antlers, dilihat antara pencabar utama yang mampu memberi saingan kepada anak buahnya berdasarkan pengalaman pasukan itu serta kemampuan mengekalkan pemain sedia ada.

Pada edisi kali ini, Perak Bison diperkukuh dengan lapan pemain, termasuk dua import dari Thailand, iaitu Khathadet Srichan dan Chanchai Sarika di posisi tekong manakala Najmi Shafiq Anuar mengisi slot tekong tempatan.

Selain itu, Amirul Zazwan dan Syafiq Mustakim Md Saad di posisi apit kiri manakala apit kanan pasukan pula diisi oleh Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Madzrul Aziq Mat Tahir serta Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa.

-- BERNAMA