SONGKHLA, 4 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang memandu kenderaan sendiri ke Thailand dinasihatkan mendapatkan perlindungan insurans mencukupi, termasuk yang meliputi pampasan pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan jalan raya di negara itu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata perlindungan itu penting terutama jika kemalangan didapati berpunca daripada pemandu warga Malaysia sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, yang boleh melibatkan tuntutan pampasan dalam jumlah besar.
“Kebiasaannya selain hukuman kepada pesalah, terdapat juga elemen yang rakyat Malaysia perlu membayar ganti rugi kepada (mangsa) tercedera atau meninggal dunia akibat kemalangan tersebut.
“Wang pampasan atau ganti rugi ini bukan satu jumlah yang kecil. Oleh itu, kalau ada insurans mencukupi, insurans itu boleh menanggung juga wang pampasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Wartawan Perlis (PWP) di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di sini, Jumaat lepas.
Ahmad Fahmi berkata pihaknya mendapati terdapat kes membabitkan pemandu Malaysia yang mengalami kesukaran menyediakan wang mencukupi untuk membayar pampasan kepada mangsa kemalangan di Thailand kerana perlindungan insurans dimiliki hanya meliputi kos rawatan di hospital.
Selain itu, beliau menasihati rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand supaya mendapatkan perlindungan insurans yang turut meliputi kerosakan kenderaan akibat bencana.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata rakyat Malaysia tidak digalakkan melakukan perjalanan pada waktu malam, terutama di kawasan berisiko seperti Pattani, Yala dan Narathiwat susulan insiden keselamatan di tiga wilayah selatan Thailand berkenaan.
Beliau turut menyarankan mereka menggunakan aplikasi Apple Maps atau Google Maps bagi perjalanan ke destinasi di selatan Thailand kerana dianggap lebih selamat berbanding Waze yang berkemungkinan mencadangkan laluan pintas melalui kawasan kampung atau berbukit.
-- BERNAMA