Am 04/10/2026 08:13 PM

F1: Verstappen Gembira Muncul Juara GP Bahrain Di Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
F1: Verstappen Gembira Muncul Juara GP Bahrain Di Malaysia
Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen (tengah) menjulang piala selepas memenangi Formula 1 - Gulf Air Bahrain di Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari, ini. Pelumba Mercedes AMG Petronas Kimi Antonelli ( kanan) menduduki tempat kedua dan pemandu Scuderia Ferrari Lewis Hamilton menduduki tempat ketiga.

SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- Pemandu Red Bull Racing Max Verstappen meluahkan kegembiraan selepas muncul juara pada perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini, selepas mengharungi permulaan yang sukar.

Pelumba dari Belanda itu menyifatkan keadaan sebagai “sangat kecoh” sebelum akhirnya beliau bangkit untuk menamatkan perlumbaan selaku juara.

“Ya, keadaan sangat kecoh pada awal perlumbaan. Tiada kuasa dan perlu menunggu sehingga kuasa kembali berfungsi.

“Namun, kami membuat keputusan yang tepat dan langkah demi langkah kami mara ke hadapan serta meneruskan perlumbaan kami sendiri sehingga tamat,” katanya selepas perlumbaan.

Sementara itu, Verstappen berkata kemenangan itu amat memuaskan selepas cabaran yang dihadapi Red Bull Racing musim ini serta kemajuan yang dicapai pasukan berkenaan.

“Ia benar-benar kemenangan yang menggembirakan. Anda tahu, selepas apa yang kami lalui tahun ini dan kemajuan yang telah kami capai. Jadi, ya, saya amat berbangga dengan semua orang dan berasa gembira untuk menang di sini,” katanya.

Verstappen menamatkan perlumbaan 55 pusingan itu dalam masa satu jam 47 minit 14.808 saat, dengan kelebihan 2.307 saat di hadapan Kimi Antonelli daripada Mercedes-AMG Petronas F1 Team manakala Lewis Hamilton daripada Ferrari melengkapkan podium, 4.919 saat di belakang pemenang.

-- BERNAMA