KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Citrawarna Speed Festival 2026 menggegarkan Putrajaya dan Sepang menerusi “Konvoi Eksklusif Lamborghini 2026” yang menghimpunkan kira-kira 100 kenderaan Lamborghini.
Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran itu ialah sebahagian daripada pengisian festival berkenaan, sekali gus menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan pelbagai pengalaman selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
“Konvoi tersebut dilepaskan dari IOI City Mall, Putrajaya pada 12 tengah hari sebelum meneruskan perjalanan mengikut laluan yang ditetapkan menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Setibanya di destinasi, kenderaan berkenaan dipamerkan menerusi pameran automotif terbuka yang memberikan peluang kepada orang ramai, peminat sukan permotoran dan pelawat antarabangsa untuk menyaksikan koleksi kenderaan ikonik tersebut dengan lebih dekat,” menurut kenyataan itu.
Majlis pelepasan konvoi itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim bersama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Mengangkat tema “Art, Culture, Speed, Together” dan “Malaysia Moves Together”, Citrawarna Speed Festival 2026 menggabungkan elemen budaya automotif, hiburan dan promosi pelancongan dalam satu platform yang menarik di IOI City Mall, Putrajaya.
Tourism Malaysia memaklumkan penganjuran itu turut memanfaatkan daya tarikan sukan permotoran dan keunikan gaya hidup automotif bagi memperkenalkan Malaysia kepada khalayak yang lebih luas, termasuk menerusi liputan media sosial dan platform digital.
“Penganjuran festival ini turut menyokong usaha meningkatkan minat dan kunjungan pelawat antarabangsa ke Malaysia, seiring dengan prestasi positif sektor pelancongan negara.
“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, Malaysia merekodkan sebanyak 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat sebanyak 1.8 peratus berbanding 28.2 juta ketibaan dalam tempoh yang sama pada 2025. Hal ini mencerminkan momentum positif pertumbuhan sektor pelancongan negara sepanjang pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027,” menurut kenyataan itu.
Tourism Malaysia memaklumkan inisiatif kerjasama strategik antara sektor awam dengan swasta menerusi Citrawarna Speed Festival 2026 dijangka turut memberikan limpahan manfaat ekonomi kepada pelbagai sektor berkaitan, termasuk hospitaliti, makanan dan minuman serta peruncitan di Putrajaya dan Sepang.
“Usaha ini sekali gus memperkukuh peranan industri pelancongan sebagai satu daripada pemangkin pertumbuhan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA