SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang hari ini selepas menamatkan lawatan khas bersempena dengan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini.
Pesawat khas yang membawa baginda bersama dengan delegasi Brunei termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah berlepas pada 5.30 petang selepas istiadat perpisahan termasuk kawalan kehormatan dibarisi 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Diraja Melayu.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Datuk Paduka Abdu’r Rahmani Basir dan Ketua Protokol Mohd Ikram Ibrahim hadir di Kompleks Bunga Raya di sini untuk mengucapkan selamat jalan kepada Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi baginda.
Terdahulu, baginda berangkat ke acara perlumbaan GP Gulf Air Bahrain di SIC bersama dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pemimpin tertinggi Malaysia, Bahrain dan Brunei bagi menyaksikan kembalinya deruman enjin F1 yang berprestij ke Sepang selepas sembilan tahun.
Turut hadir menyaksikan perlumbaan itu Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
SIC dipilih sebagai tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 sekali gus menjadikan litar ikonik itu lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij tersebut.
Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan itu yang berlangsung dari 2 Okt lepas hingga hari ini.
Ia susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian berkenaan memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum dugugurkan daripada kalendar F1.
Kembalinya perlumbaan berprestij ini ke Malaysia ialah hasil usaha kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa.
-- BERNAMA