KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Pendidikan tinggi dilihat sebagai antara laluan penting untuk meningkatkan taraf hidup komuniti Orang Asli, dengan kerajaan memperuntukkan RM9 juta bagi bantuan pengajian tinggi khusus untuk mahasiswa daripada komuniti itu di seluruh negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Dr Roslan Mahmood berkata pelaburan berterusan kerajaan dalam membangunkan modal insan komuniti itu, seiring dengan Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) 2023-2026 dan Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA).
Beliau berkata ketika ini sebanyak 1,225 mahasiswa Orang Asli sedang melanjutkan pengajian di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara, termasuk 280 orang yang menghadiri majlis perasmian penutup Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI) JAKOA Tahun 2026, hari ini.
“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kita menyasarkan lebih 1,000 keluarga Orang Asli bakal menikmati kehidupan yang lebih baik, menerusi kerjaya dan pendapatan yang berprestij hasil daripada pendidikan tinggi ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah JAKOA Muhammad Akmal Ila Ahmad.
Roslan berkata pelaburan dalam pendidikan tinggi bertujuan melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan komuniti Orang Asli seperti guru, jurutera, doktor, pegawai kerajaan, ahli akademik serta pemimpin masyarakat, yang mampu menjadi penggerak pembangunan komuniti.
Beliau mengingatkan para mahasiswa Orang Asli supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang pengajian di menara gading, serta mengukur maklumat secara matang dan berfakta, tanpa mudah terpengaruh dengan tohmahan pihak luar terhadap usaha kerajaan dan JAKOA.
“Anda semua ialah mahasiswa. Kerajaan berikan bantuan dan pendidikan. Jadi, nilai segala sesuatu dengan maklumat yang betul dan jangan mudah menghukum. Kami sentiasa melakukan yang terbaik buat anak-anak Orang Asli, baik yang dari pedalaman Gua Musang, Cameron ataupun yang berada di bandar,” katanya.
Sementara itu, penganjuran AMI 2026 mengetengahkan pencapaian mahasiswa Orang Asli, yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan memberi sumbangan kepada komuniti.
Daripada sembilan pencalonan yang diterima, dua mahasiswa dinobatkan sebagai penerima penghargaan AMI 2026 iaitu Norazlizam Haziman Salim daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bagi Kategori Lelaki dan Nurul Izzati Noorli daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail bagi Kategori Wanita.
Roslan turut merakamkan tahniah kepada kesemua sembilan calon berkenaan dan berharap pengiktirafan itu, menjadi batu loncatan untuk mereka melayar kejayaan lebih tinggi dan terus menyumbang kepada masyarakat.
Norazlizam Haziman ketika ditemui Bernama berkata pengiktirafan itu, membuktikan latar belakang bukan penghalang untuk anak-anak Orang Asli mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kemasyarakatan.
“Janganlah sesekali kita biarkan latar belakang kita menjadi kelemahan kita. Jangan biarkan latar belakang atau status kita menjadi penghalang kepada cita-cita, kerana kejayaan itu milik insan yang berusaha,” katanya.
Bagi Nurul Izzati pula, pengiktirafan itu menjadi pendorong untuk beliau terus bersiap siaga menjadi bakal pendidik yang cemerlang buat anak bangsa, khususnya komuniti Orang Asli.
Beliau turut menyeru golongan muda Orang Asli supaya tidak takut menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan menjadikan ilmu yang diperoleh sebagai bekalan untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.
“Satu benda perlu diingat, dengan daya tahan yang tinggi. kekurangan bukanlah satu masalah, ia hanyalah sekadar alasan. Walaupun kita berasal dari pedalaman atau keluarga susah, itu bukan halangan. Jangan pernah berhenti untuk menyumbang bakti kepada masyarakat anda sendiri.” katanya.
-- BERNAMA