BATU PAHAT, 4 Okt (Bernama) -- Pembunuhan tragis pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Yong Peng di sini semalam bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga malah meragut impian murni mangsa yang bercita-cita mengikut jejak langkah arwah ibunya sebagai seorang doktor.
Ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, merupakan seorang remaja yang cenderung dan cemerlang dalam pelajaran.
"Dia pernah bertanya dengan saya, bidang perubatan mana yang patut dia ceburi dan saya cadangkan pakar sakit puan kerana kita kekurangan doktor wanita dalam bidang itu.
"...dan dia letak cita-cita pertama untuk jadi doktor pakar sakit puan dan kedua sebagai pakar kesihatan awam sama macam arwah ibunya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parit Selamat di sini hari ini.
Menceritakan detik penemuan mangsa semalam, guru subjek Biologi di Sekolah Menengah Jalan Kota Tinggi itu berkata, dia telah dimaklumkan oleh rakan-rakan arwah pada 5 petang mengenai kehilangan anak saudaranya selepas tidak hadir ke kelas tambahan.
Siti Nur Faeza berkata bersama ibunya (nenek kepada mangsa) serta rakan sekelas arwah, mereka bergegas ke sekolah untuk melakukan pencarian sebelum mangsa ditemukan oleh rakannya terbaring di atas lantai dewan sekolah dalam keadaan berlumuran darah.
"Arwah terbaring dengan darah merata-rata di atas lantai, masa itu (ketika ditemui) dia masih bernyawa, ada respons dengan angkat tangan dan mengeliat.
"Namun, selepas saya telefon kecemasan, kemudian ambulans dan polis sampai, arwah sudah tidak ada (meninggal dunia) apabila diperiksa nadi dan tangan pun sudah mula sejuk," katanya.
Siti Nur Faeza berkata kejadian itu mengejutkan seluruh ahli keluarganya, sekali gus berharap agar pelaku dikenakan hukuman setimpal.
Sementara itu, datuk mangsa, Khyar Abas, 69, meluahkan rasa amat sedih atas pemergian tragis cucu yang dijaganya setahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser hati ketika Irene Sofiya masih berusia lapan tahun.
Mengimbas pertemuan terakhir dengan cucunya pada pagi hari kejadian, dia berkata tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan oleh arwah semasa mereka bersarapan bersama.
Khyar berkata arwah seorang anak yang sangat baik dan disayangi oleh rakan-rakan serta guru di sekolahnya.
"Boleh tanya kepada sesiapa sahaja sama ada rakan-rakan atau guruya, arwah memang tidak pernah menyusahkan orang lain," katanya sebak.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes bunuh pelajar berkenaan yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sekolah tersebut semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata suspek ditahan kira-kira 7 malam di sekitar Yong Peng, lebih kurang sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu.
-- BERNAMA