Am 04/10/2026 06:02 PM

Penyertaan "Sustainable Wood Diy Contest 2026" Melonjak Lebih Tiga Kali Ganda - MTC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penyertaan
fb Malaysian Timber Council - MTC

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Penyertaan Sustainable Wood DIY Contest 2026 anjuran Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) mmelonjak lebih tiga kali ganda, apabila sebanyak 149 penyertaan diterima tahun ini, berbanding 48 penyertaan pada penganjuran sulungnya pada 2024.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 88 penyertaan atau 59 peratus diterima bagi kategori pelajar, manakala 61 penyertaan lagi bagi kategori awam.

Peningkatan itu menunjukkan minat yang semakin tinggi, khususnya dalam kalangan generasi muda,  untuk meneroka potensi kayu melalui reka bentuk, penggunaan semula dan penghasilan produk kreatif.

Pengerusi MTC Datuk Zainal Abidin Abdullah berkata peningkatan penyertaan itu, mencerminkan sambutan yang semakin meluas terhadap pertandingan tersebut.

“Peningkatan daripada 48 penyertaan pada 2024 kepada 149 penyertaan pada tahun ini amat memberangsangkan.

“Ia menunjukkan pertandingan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, selain menarik lebih ramai peserta meneroka potensi kayu secara kreatif,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di sini hari ini, yang disempurnakan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Pertandingan ini turut menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan industri perkayuan dan memperlihatkan bagaimana kayu boleh diolah menjadi produk yang berguna serta bernilai,” katanya.

Bertemakan From Waste to Wonders, pertandingan tersebut menggalakkan peserta mengolah sisa kayu, kayu kitar semula, kayu guna semula dan lebihan potongan kayu menjadi produk yang kreatif, berfungsi serta bernilai tambah.

Antara hasil rekaan yang dipertandingkan ialah lampu meja eko-kraf, gitar kayu, kerangka dwifungsi yang boleh digunakan sebagai tempat duduk, papan catur lipat, set meja kerja kreatif serta rekaan lampu yang inovatif.

Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha MTC untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kayu sebagai sumber yang boleh diperbaharu, selain menggalakkan penggunaan  sumber kayu secara kreatif, optimum dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA