JOHOR BAHRU, 4 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima pendaftaran 4,506 pelajar baharu bagi pengajian sarjana muda sepenuh masa sesi akademik 2026/2027.
Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata daripada jumlah itu, 4,088 pelajar mendaftar pengajian di kampus Johor Bahru manakala 418 pelajar lagi di kampus Kuala Lumpur, melibatkan 4,328 pelajar tempatan.
Beliau berkata Fakulti Alam Bina dan Ukur mencatatkan bilangan pelajar tertinggi dengan 771 pelajar, diikuti Fakulti Sains (511) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (503), sekali gus mencerminkan minat berterusan terhadap bidang sains, kejuruteraan dan teknologi.
"Kemasukan ke universiti bukan sekadar membuka akses kepada pendidikan tinggi, tetapi menjadi permulaan kepada proses membangunkan mahasiswa sebagai insan berilmu, berdaya fikir dan beradab.
“Justeru, pembentukan bakat perlu berjalan seiring dengan pembentukan adab supaya kecemerlangan yang dicapai akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Shafry berkata UTM juga menambah kira-kira 500 tempat bagi pelajar peringkat sarjana muda tahun ini, termasuk pengambilan pertama 55 pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di kampus di sini, yang menyumbang kepada peningkatan kira-kira 12 peratus mahasiswa.
“Selain Fakulti AI, kita turut menambah satu seksyen bagi program Kejuruteraan Data dan Perakaunan di samping memperkenalkan program baharu iaitu Sains Data serta Analitik Perniagaan,” katanya pada sidang media selepas pendaftaran pelajar baharu universiti itu di sini hari ini.
Mohd Shafry berkata pengambilan 55 pelajar bagi Fakulti AI di kampus Johor Bahru itu merupakan kohort pertama dan langkah berkenaan selari dengan usaha universiti dalam menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menerusi penyediaan bakat berkemahiran tinggi.
Beliau berkata universiti juga sedang meneliti peluang kerjasama dengan syarikat antarabangsa bagi memperkasakan teknologi di JS-SEZ.
Antara kerjasama strategik yang sedang dilaksanakan ialah projek UTM bersama Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS) dalam menghasilkan Unit Pemprosesan Kuantum (QPU) di Technovation Park UTM.
"Ini antara projek strategik...yang dijangka akan dilancarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir)," katanya.
Sementara itu, beliau berkata mahasiswa UTM dibenarkan menggunakan AI dalam pembelajaran namun penggunaannya dihadkan kepada 20 peratus, manakala baki 80 peratus pula melibatkan kemahiran berfikir sendiri.
"Mereka boleh menggunakan semua kemudahan AI yang kita sediakan termasuk 'High Performance Computing' yang dilancarkan semalam dan boleh diakses di mana-mana untuk melakukan projek dan menyiapkan tugasan.
"(Bagaimanapun), sekiranya hasil tugasan mereka itu tinggi menggunakan AI, kita akan minta mereka mengubah semula selari dengan syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan," katanya, sambil memaklumkan pihak universiti mempunyai keupayaan untuk mengesan kaedah tugasan disediakan.
Mohd Shafry berkata UTM terus memperkukuh kerjasama dengan pihak industri selain syarikat antarabangsa pada peringkat awal pembelajaran iaitu tahun dua atau tahun tiga, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata UTM terus menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban kos sara hidup mahasiswa termasuk meneruskan inisiatif makanan RM5 serta bantuan khas kepada 1,200 pelajar daripada keluarga B40, termasuk tabung endowmen, zakat, Yayasan UTM serta ziarah kasih.
-- BERNAMA