Am 04/10/2026 05:43 PM

UniSIRAJ Perkukuh Kecemerlangan Akademik Menerusi Jaminan Kualiti Program Sistematik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UniSIRAJ Perkukuh Kecemerlangan Akademik Menerusi Jaminan Kualiti Program Sistematik
Kredit: Istana Arau

KANGAR, 4 Okt (Bernama) -- Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) terus memperkukuh kecemerlangan akademik menerusi pengurusan dan jaminan kualiti program yang sistematik serta selaras dengan keperluan pengajian tinggi negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah UniSIRAJ yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kini menawarkan 31 program akademik meliputi pelbagai peringkat pengajian, iaitu tiga program Doktor Falsafah, tiga Sarjana, 16 Sarjana Muda, tujuh Diploma dan dua program Asasi.

Baginda yang juga Canselor UniSIRAJ bertitah daripada jumlah itu, sebanyak 26 program memperoleh Akreditasi Penuh (FA) manakala lima lagi berada pada status Akreditasi Sementara (PA).

“Pencapaian itu bermakna keseluruhan 31 program akademik UniSIRAJ mempunyai status akreditasi sama ada FA atau PA, mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan setiap program memenuhi standard serta keperluan jaminan kualiti yang ditetapkan,” titah Raja Muda Perlis.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyerahkan simbolik sumbangan Ibnu Sabil MAIPs kepada Kedutaan Besar Malaysia di Uzbekistan sejurus berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Islam Karimov Tashkent pada Jumaat lepas, seperti dimaklumkan dalam kenyataan Istana Arau hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Raja Muda Perlis bertitah UniSIRAJ akan terus memberi keutamaan kepada pengekalan status FA bagi 26 program sedia ada selain memperkukuh lima program berstatus PA ke arah pencapaian FA.

“Usaha berkenaan juga perlu disokong dengan penambahbaikan berterusan bagi memastikan program akademik kekal relevan dengan perkembangan semasa serta responsif terhadap keperluan industri dan pemegang taruh,” titah baginda.

Sementara itu, Istana Arau memaklumkan Raja Muda Perlis berangkat ke Uzbekistan pada kali ini bagi merasmikan Seminar Warisan Nabawi Peringkat Antarabangsa (SWAN) Kali ke-10 yang dianjurkan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama UniSIRAJ.

Ia berlangsung pada 6 dan 7 Okt di Imam Bukhari International Scientific Research Center, Samarkand, bertemakan “Warisan Nabawi dalam Menerajui Era Ketidakstabilan Global”.

-- BERNAMA