LONDON, 4 Okt (Bernama-Anadolu) -- Royal College of Nursing (RCN) menamatkan kerjasama komersial dengan sebuah syarikat farmaseutikal Israel susulan kaitannya dengan tentera negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Nurses 4 Palestine yang berpangkalan di United Kingdom (UK) pada Jumaat memaklumkan Pengerusi Majlis RCN Carmel O’Boyle mengesahkan kepada kumpulan itu bahawa Teva UK tidak lagi menjadi penaja Sidang Kemuncak Kepimpinan Kejururawatan RCN yang dijadualkan pada 30 Okt.
O’Boyle mengumumkan keputusan itu menerusi surat kepada kumpulan berkenaan bertarikh 23 Sept, menurut Nurses 4 Palestine dalam kenyataan di platform media sosial Amerika Syarikat (AS), Instagram.
“Keputusan itu dibuat susulan kempen berterusan... yang menuntut institusi penjagaan kesihatan UK menghentikan keterlibatan dengan entiti korporat yang dikaitkan dengan aparteid Israel dan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Nurses 4 Palestine, UK Healthcare Petitions to the Royal Colleges, golongan profesional penjagaan kesihatan dan anggota kesatuan telah berkempen menentang kerjasama berkenaan.
Kumpulan itu memaklumkan RCN mengakui penelitian wajar lanjut terhadap rekod prestasi global Teva Pharmaceuticals, “termasuk operasi yang tertakluk kepada sekatan undang-undang dan penelitian awam yang ketat”, mendapati syarikat itu tidak selaras dengan piawaian etika profesion kejururawatan.
Kesatuan itu turut mengumumkan semakan menyeluruh bagi memperkukuh dasar kerjasama komersialnya, dengan secara langsung merujuk bukti yang dikemukakan dalam surat terbuka oleh kumpulan yang menjalankan kempen pada 10 Sept.
“Apabila petugas barisan hadapan bergerak secara kolektif, keengganan institusi untuk bertindak dapat diatasi dan usaha syarikat menutup salah laku dapat dihentikan,” menurut Nurses 4 Palestine.
-- BERNAMA-ANADOLU