ISTANBUL, 4 Okt (Bernama-Anadolu) -- Speaker Parlimen Iran pada Ahad berkata Tehran "tidak teruja mahupun gentar" dengan tindakan Amerika Syarikat (AS), sambil menegaskan bahawa Iran bersedia untuk "bertempur dan berunding", lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita tempatan.
"Kami berada di medan pertempuran ketenteraan dengan seluruh kekuatan kami dan akan berdepan mereka dengan kejutan baharu. Kami juga menggunakan kaedah diplomasi untuk mengukuhkan kelebihan kami dalam bidang ketenteraan dan menegakkan hak rakyat Iran," kata Mohammad Bagher Qalibaf kepada Parlimen, menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim.
Sambil menyatakan Washington menyampaikan beberapa cadangan menerusi pengantara selepas Tehran mengemukakan hala tuju tujuh hari untuk membuka semula Selat Hormuz, beliau mengulangi pendirian Iran bahawa selat itu tidak akan dibuka semula "sehingga tujuh syarat kami berdasarkan Memorandum Islamabad dipenuhi", merujuk kepada perjanjian rangka kerja yang dicapai pada Jun lepas.
Bulan lepas, Iran menyampaikan kepada AS satu set syarat rasmi menerusi pengantara Qatar bagi menamatkan perang yang bermula pada 28 Feb.
Syarat Tehran termasuk penghentian menyeluruh permusuhan di semua medan, pelepasan dana Iran yang dibekukan serta penamatan sekatan tentera laut terhadap pelabuhannya.
-- BERNAMA-ANADOLU