Am 04/10/2026 04:04 PM

RM200,000 Diperuntuk Naik Taraf Dewan Orang Ramai Di Buntong

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RM200,000 Diperuntuk Naik Taraf Dewan Orang Ramai Di Buntong
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran (hadapan, kiri) beramah mesra dengan para peniaga di gerai jualan pada Program MADANI Kita (PMK) 2026 bersama Komuniti Buntong, di Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Jalan Sungai Pari Buntong hari ini.

IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja menaik taraf Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Jalan Sungai Pari di Buntong, di sini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata kerja-kerja menaik taraf tersebut sedang dan akan dilaksanakan sepenuhnya melalui Pejabat Pembangunan Negeri Perak.

Kulasegaran yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata penambahbaikan itu diharap dapat menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif untuk manfaat komuniti setempat.

"Selain itu, peruntukan sebanyak RM50,000 melalui sumbangan khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disalurkan kepada 10 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam Parlimen Ipoh Barat.

"Peruntukan ini akan diterjemahkan melalui pelaksanaan program pemberian bakul Rahmah kepada komuniti KRT yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan dan usaha bersama membantu meringankan beban serta menjaga kebajikan masyarakat setempat," katanya ketika berucap merasmikan Program MADANI Kita (PMK) bersama-sama Komuniti Buntong di sini, hari ini.

PMK yang berlangsung selama sehari itu menyasarkan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik, melibatkan 35 reruai pameran agensi dan jabatan kerajaan selain pelbagai jualan dengan harga yang berpatutan disediakan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata PMK juga memberikan manfaat besar kepada rakyat melalui penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih mudah, bersepadu dan dekat dengan masyarakat.

Beliau berkata program tersebut turut menjadi ruang interaksi dua hala antara rakyat dengan kerajaan, meningkatkan kefahaman terhadap dasar serta inisiatif kerajaan, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi, komuniti, badan bukan kerajaan dan sektor swasta.

"Yang lebih penting, program ini menyemai semangat kebersamaan, kejiranan dan kesukarelawanan dalam melahirkan komuniti yang bukan sahaja menerima manfaat pembangunan, tetapi turut menjadi rakan strategik kerajaan dalam membina masyarakat yang sejahtera dan negara yang harmoni," katanya.

-- BERNAMA