Am 04/10/2026 12:16 PM

Tidak Puas Hati Abang Kerap Minta Wang Punca OKU Mental Mengamuk, Pukul Sehingga Maut

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tidak Puas Hati Abang Kerap Minta Wang Punca OKU Mental Mengamuk, Pukul Sehingga Maut

KUALA TERENGGANU, 4 Okt (Bernama) -- Tidak berpuas hati terhadap abangnya yang dipercayai kerap meminta wang daripada ibu bapa dipercayai menjadi antara punca seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental mengamuk sebelum memukul abangnya sehingga maut di Kampung Banggol Tasek, Bukit Payong, di sini, semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata pihaknya telah menerima maklumat berkaitan satu kejadian pergaduhan di sebuah rumah keluarga di lokasi berkenaan kira-kira 10.55 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 43 tahun yang juga abang kandung suspek, meninggal dunia selepas dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul, manakala adik perempuan suspek, 36, turut cedera selepas dipukul ketika cuba menghalang suspek daripada menyerang mangsa.

"Suspek lelaki berumur 42 tahun yang juga seorang OKU mental berjaya ditahan polis di tepi jalan di Bandar Bukit Payong, tidak lama selepas kejadian. Suspek menghadapi masalah mental dan dipercayai tidak berpuas hati dengan abangnya.

"Abang suspek memang mempunyai rekod kes narkotik dan mungkin terlalu meminta duit daripada keluarga sehingga menyebabkan suspek marah. Jadi, berdasarkan kejadian tersebut, kemungkinan perkara itu telah lama dipendam sebelum suspek mengambil keputusan sedemikian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu telah hadir menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta beberapa barang kes berkaitan kejadian turut dirampas untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Mohd Khairi berkara adik suspek yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

"Adik suspek mengalami luka di bahagian belakang kepala, patah ibu jari kanan serta kecederaan ringan pada limpa sebelah kiri berdasarkan hasil imbasan tomografi berkomputer (CT),” katanya.

Mohd Khairi berkata permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menyentuh sensitiviti keluarga mangsa, selain sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran.

-- BERNAMA