SONGKHLA, 4 Okt (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bersama dengan pihak berkuasa Thailand, mencapai kesepakatan menetapkan mekanisme memudahkan pengagihan bantuan banjir disalurkan kepada rakyat terjejas akibat bencana itu, dengan lebih cekap dan berkesan.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata perkara itu sebagai sebahagian persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir besar, seperti berlaku di Hat Yai pada penghujung November tahun lepas.
Beliau berkata gudang-gudang yang boleh diguna pakai ketika banjir bagi menempatkan barangan bantuan dari Malaysia telah dikenal pasti, melalui perbincangan pihaknya dengan pihak Pejabat Gabenor Songkhla, sekali gus memastikan pengagihan bantuan semasa banjir lebih selaras.
“Bila barang Malaysia sampai, kita akan terus hantar ke gudang tersebut dan juga kita telah bersetuju dengan pihak Gabenor, supaya barang tersebut akan diedarkan kepada rakyat memerlukan oleh pihak berkuasa Thailand,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata demikian semasa kunjungan hormat delegasi Persatuan Wartawan Perlis (PWP) ke atas beliau di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di sini pada Jumaat lepas.
Beliau berkata jika pihak berkuasa Thailand tidak mencukupi tenaga kerja untuk mengedarkan bantuan itu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia boleh mengedarkan sendiri bantuan berkenaan dengan panduan daripada pihak berkuasa negara itu untuk ke lokasi yang diperlukan edaran bantuan tersebut.
“Persediaan ini diambil berdasarkan pengajaran banjir besar tahun lepas, yang ketika itu terdapat longgokan barangan bantuan dari Malaysia selepas tiba di Hat Yai yang tak tahu siapa nak agih, tak tahu nak letak mana, ini antara kelemahan kami sedari,” katanya.
Selain itu, Ahmad Fahmi berkata pihaknya juga menyelaras dengan agensi di Malaysia, dengan bantuan turut akan disalurkan dengan lebih mudah dari Thailand, sekiranya berlaku banjir di negeri sebelah utara negara ini yang disepakati bersama pihak berkuasa negara itu.
Mengenai banjir besar tahun lepas di Selatan Thailand itu, beliau berkata kira-kira 7,000 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan.
Sementara itu, Ahmad Fahmi menyarankan rakyat Malaysia yang ingin melakukan perjalanan ke Selatan Thailand antara bulan ini hingga Januari tahun depan, supaya mengikuti perkembangan semasa cuaca dengan lebih rapat.
“Kalau dah nampak tanda merbahaya, seperti contoh berita mengatakan paras air di Sungai Golok atau sungai di kawasan Hat Yai ini telah naik paras bahaya, rakyat Malaysia automatik kena tahu jangan melakukan perjalanan tersebut ke sini, nasihat saya tangguh dulu perjalanan itu,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga mengambil iktibar daripada kejadian banjir besar tahun lepas itu dengan lebih kerap mengeluarkan amaran cuaca oleh pihak berkuasa Thailand pada tahun ini menerusi laman sesawang (website) konsulat itu, mahupun platform media sosial mereka seperti Instagram (IG) dan X (Twitter).
-- BERNAMA