KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja pembaikan susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen MRT Taman Equine sedang giat dijalankan, bagi memulihkan bekalan kuasa dan operasi perkhidmatan tren Laluan Putrajaya, menurut Rapid KL.
Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid KL memaklumkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma masih disediakan, bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan sepanjang tempoh gangguan berkanaan.
“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma masih beroperasi bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan, dengan sebanyak lapan bas disediakan sebagai tambahan bagi melancarkan pergerakan penumpang,” menurut kenyataan itu.
Gangguan perkhidmatan itu berpunca daripada kehilangan bekalan kuasa susulan kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine, yang dikesan pada 5.24 pagi tadi.
Susulan kejadian itu, sebuah tren tidak dapat bergerak di Stesen Taman Equine, manakala pasukan teknikal digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan dan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan bekalan kuasa serta operasi perkhidmatan tren.
Rapid KL turut menyarankan penumpang yang menuju ke Sepang melalui perkhidmatan ERL di Putrajaya Sentral, mereka dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Stesen ERL KL Sentral atau Sentral ERL Bandar Tasik Selatan.
Petugas stesen dan anggota polis bantuan turut ditempatkan di stesen serta hentian bas bagi membantu menguruskan pergerakan penumpang.
Rapid KL akan memaklumkan status perkhidmatan dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial rasminya.
-- BERNAMA