BUDAPEST, 4 Okt (Bernama-dpa) -- Kira-kira 3.4 juta pengundi di Bosnia-Herzegovina keluar mengundi pada Ahad untuk memilih tiga anggota Majlis Presiden negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mereka turut mengundi untuk memilih anggota Parlimen Persekutuan, parlimen di dua entiti yang sebahagian besarnya berautonomi, Presiden Republik Srpska serta parlimen kanton di Persekutuan Bosnia dan Herzegovina.
Negara itu dibelenggu ketegangan antara parti nasionalis yang mewakili etnik Bosniak yang majoritinya beragama Islam dan membentuk kira-kira separuh daripada penduduk, etnik Serb beragama Kristian Ortodoks yang merangkumi satu pertiga daripada populasi serta minoriti etnik Croat beragama Katolik yang membentuk 15 peratus.
Kepimpinan semasa entiti Serb berusaha untuk berpisah daripada Bosnia, langkah yang ditentang masyarakat antarabangsa.
Negara itu berstatus negara calon untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) sejak 2022.
Pengundian pada Ahad dijangka tidak membawa sebarang perubahan ketara dalam penguasaan politik.
Pusat mengundi dijadual dibuka pada 7 pagi (0500 GMT) dan ditutup pada 7 malam.
Sebahagian besar keputusan dijangka diketahui menjelang lewat malam Ahad. Bagaimanapun, disebabkan kerangka perlembagaan yang kompleks serta rundingan pembentukan pakatan yang sering mengambil masa panjang, keputusan awal dijangka belum dapat memberikan gambaran mengenai bentuk kerajaan yang bakal memerintah negara itu secara keseluruhan.
-- BERNAMA-dpa