Am 04/10/2026 02:05 PM

Kematian Pelajar Tingkatan Empat: Fadhlina Mahu Pemeriksaan Menyeluruh Aspek Keselamatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kematian Pelajar Tingkatan Empat: Fadhlina Mahu Pemeriksaan Menyeluruh Aspek Keselamatan
Kredit: FB - Fadhlina Sidek

BATU PAHAT, 4 Okt (Bernama) -- Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan pemeriksaan secara menyeluruh dijalankan terhadap semua aspek pengurusan dan keselamatan sekolah, berikutan kejadian seorang pelajar perempuan yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini semalam.

Beliau berkata tindakan susulan sedang dijalankan selepas menerima taklimat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan pihak sekolah tentang kronologi kejadian itu, hari ini.

Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan menyembunyikan sebarang fakta, sekali gus  mahu semakan rapi dibuat merangkumi rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan, aspek kawalan keselamatan serta rondaan di persekitaran sekolah.

"Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab KPM diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata syarikat kawalan keselamatan yang dilantik di sekolah berkenaan turut diminta memberikan kerjasama penuh bagi melengkapkan semakan tersebut. 

Beliau, pada masa sama, berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya wujud sebarang kecuaian atau kegagalan pihak bertanggungjawab menjalankan tugas seperti yang ditetapkan.

KPM juga, katanya, akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan pihak polis.

Beliau berkata sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan, sekali gus menasihati orang ramai supaya menghormati proses siasatan dan memberikan ruang kepada keluarga mangsa.

Pagi tadi, Fadhlina menghadiri taklimat di sekolah berkenaan, sebelum melawat ahli keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini.

Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes bunuh pelajar berkenaan yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sekolah terbabit.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata suspek ditahan kira-kira 7 malam tadi di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat tentang kejadian berkenaan.

Beliau berkata polis menerima maklumat daripada orang awam pada kira-kira 5.50 petang, selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah itu.

-- BERNAMA