SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- Pergerakan ribuan peminat Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilihat lebih teratur hari ini dengan lebih banyak bas perantara disediakan serta penambahan bilangan petugas bagi membantu kelancaran pergerakan.
Tinjauan Bernama kira-kira 11 pagi mendapati peminat mula berpusu-pusu memasuki kawasan litar bagi menyaksikan perlumbaan Grand Prix Gulf Air Bahrain yang dijadualkan bermula pada 3 petang ini.
Keadaan itu turut disambut baik peminat yang hadir selepas mengalami kesesakan dan perjalanan yang agak mencabar pada hari-hari sebelumnya.
Peguam, Thariq Abdullah, 56, yang hadir bersama dengan isteri dan anak lelaki dari Puchong berkata perjalanan mereka ke SIC menaiki bas perantara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 hari ini lebih baik berbanding ketika beliau hadir pada Jumaat lepas.
"Hari Jumaat memang agak kelam-kabut, tetapi setakat hari ini nampak lebih baik kerana dapat lihat lebih banyak bas dan marsyal.
“Saya harap keadaan ini dapat dikekalkan, terutama ketika penonton mula meninggalkan litar selepas perlumbaan nanti kerana biasanya masalah berlaku ketika perjalanan pulang kerana ramai meninggalkan litar pada masa yang sama,” katanya kepada Bernama.
Thariq yang sudah beberapa kali menghadiri perlumbaan F1 dan MotoGP berkata kemeriahan tahun ini dapat dirasai susulan kembalinya F1 ke Malaysia selepas sembilan tahun.
"Malaysia sudah lama tidak menjadi tuan rumah, jadi orang memang teruja. Mungkin ada satu generasi yang tidak pernah merasai suasana sebegini turut hadir untuk menikmati pengalaman ini,” katanya.
Bas perantara percuma disediakan kepada penonton dari KLIA Terminal 2, Mitsui Outlet Park, Sepang dan Bandar Baru Enstek, Nilai.
Sementara itu, usaha memastikan bekalan air minuman tersedia untuk penonton yang berdepan cuaca panas ketika ini, turut dilihat di kawasan perhentian bas di kawasan masuk SIC dengan pemasangan stesen air minuman sedang dijalankan.
Pembantu Pengurus sebuah syarikat kontraktor Hope Huan Hee Keng berkata satu stesen air minuman dipasang di kawasan itu bagi membolehkan penonton mendapat bekalan air sementara menunggu bas pada cuaca panas.
-- BERNAMA