Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
JAKARTA, 4 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe mahu Malaysia menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam, apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini, esok.
Cheng Hoe berkata beliau mempunyai keinginan kuat untuk melihat Harimau Malaya mencatat keputusan positif, selepas lebih sedekad gagal menewaskan lawan itu.
“Memang saya tanamkan cita-cita nak menang dengan Vietnam dan juga ada keinginan untuk dapatkan keputusan yang positif, kerana untuk 10 tahun terakhir kita tidak menang dengan Vietnam.
“Kita tahu kekuatan mereka bukan sahaja dari bahagian serangan, mereka juga ada penambahan pemain-pemain naturalisasi pada bahagian pertahanan. Jadi paling penting kita kena kekal fokus dan bersedia untuk bertemu Vietnam,” katanya kepada pemberita di sini.
Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam ialah pada 2014 apabila skuad bimbingan Dollah Salleh mencatat kemenangan 4-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF, untuk mara ke final dengan agregat 5-4.
Sejak itu, Malaysia gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 12 pertemuan dengan Vietnam, dengan rekod 11 kekalahan dan satu keputusan seri termasuk ketika Cheng Hoe mengendalikan skuad kebangsaan sebelum ini.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia tewas 0-2 pada aksi separuh akhir kedua Kejohanan ASEAN, Ogos lepas, sekali gus tersingkir dengan kekalahan agregat 0-4.
Justeru, pertembungan esok bukan sahaja memecahkan kebuntuan panjang berdepan Vietnam, malah memberi peluang kepada Malaysia untuk menamatkan kempen kejohanan dengan kemenangan bermakna.
Malaysia mara ke aksi penentuan tempat ketiga selepas menamatkan saingan Kumpulan A pada kedudukan kedua dengan tujuh mata, manakala Indonesia muncul juara kumpulan menerusi kelebihan jumlah jaringan.
Dalam pada itu, final Piala ASEAN FIFA 2026 menemukan Thailand dan pasukan tuan rumah dijadual berlangsung di GBK, malam esok.
-- BERNAMA