KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memanfaatkan sukan sebagai platform diplomasi, aktiviti ekonomi dan penjenamaan negara membantu meletakkan semula Malaysia di pentas sukan global, menurut penganalisis.
Felow Kanan Global Peace Institute Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata sejak beberapa bulan lepas, Malaysia telah menunjukkan betapa acara sukan global dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk menghiburkan orang ramai, tetapi juga memperkukuh hubungan antarabangsa, menjana aktiviti ekonomi dan mewujudkan rasa keterujaan di seluruh negara.
"Sukan sering dianggap sebagai hiburan, tetapi bagi kerajaan, bidang itu juga boleh menjadi diplomasi, dasar ekonomi dan penjenamaan negara yang digabungkan menjadi satu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Formula Satu (F1) kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun dan usaha Malaysia untuk memastikan akses kepada siaran Piala Dunia FIFA 2026 baru-baru ini, menunjukkan bahawa sukan juga dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh penglibatan antarabangsa negara.
Mohd Mizan berkata penganjuran F1 Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di negara ini selama tiga hari hingga hari ini, menunjukkan dimensi antarabangsa diplomasi sukan, selepas GP Bahrain tidak dapat diteruskan di lokasi asalnya berikutan keadaan geopolitik di Asia Barat.
Beliau berkata pengaturan itu melangkaui transaksi komersial yang melibatkan litar lumba kerana perkara itu dimudahkan dalam rangka hubungan antara Malaysia dengan Bahrain, dengan sokongan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.
Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa turut berangkat ke Malaysia dan bertemu dengan Anwar pada hujung minggu perlumbaan berkenaan.
Mohd Mizan berkata kehadiran Anwar pada sesi kelayakan di Sepang, melawat ke pit Mercedes-AMG Petronas dan penglibatan dalam majlis resepsi yang dianjurkan Putera Salman menunjukkan bahawa acara sukan itu dapat mewujudkan platform untuk penglibatan diplomatik.
"Sukan mewujudkan platform diplomatik. Pemimpin bertemu, hubungan dua hala diperkukuh dan Malaysia diletakkan di hadapan khalayak global bukan melalui sidang kemuncak rasmi, tetapi menerusi satu daripada pertunjukan sukan yang paling dikenali di dunia," katanya.
Maklum balas orang ramai terhadap kembalinya F1 juga, katanya, sama penting dengan kira-kira 95,000 tiket tiga hari terjual pada akhir September dan SIC menjangkakan penjualan mencecah kira-kira 100,000 yang bakal menjadi jualan tiket tertinggi yang direkodkan untuk perlumbaan yang diadakan di litar tersebut.
Beliau berkata acara itu juga menjana limpahan ekonomi yang ketara, dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan acara sukan tersebut mampu menarik kira-kira 300,000 pelancong termasuk sekitar 50,000 pelancong antarabangsa, manakala Hong Leong Bank Research mengunjurkan impak ekonomi kira-kira RM1.3 bilion melalui pelancongan sukan dan perbelajaan pelawat asing.
"F1 tidak hanya memberikan manfaat kepada litar. Pengunjung berbelanja di hotel, restoran, pengangkutan, peruncitan dan pelancongan. Liputan televisyen membawa imej Malaysia ke seluruh dunia. Pasukan, penaja, wartawan dan pemimpin korporat global tiba di negara ini," katanya.
Berhubung sukan bola sepak, Mohd Mizan berkata keputusan kerajaan untuk memastikan Malaysia mempunyai akses kepada Piala Dunia FIFA 2026 mewakili dimensi domestik diplomasi sukan, berikutan bola sepak terus menjadi satu daripada sukan yang paling diikuti ramai di negara ini.
RTM dan Unifi TV dilantik selaku penyiar rasmi, dengan kesemua 104 perlawanan dapat ditonton menerusi platform yang mengambil bahagian, manakala kerajaan memperuntukkan RM26.2 juta untuk memperoleh hak penyiaran, di samping kerjasama strategik dengan sektor swasta yang membantu meluaskan akses dan pengedaran, katanya.
Beliau berkata akses kepada Piala Dunia melalui saluran yang sah dan mudah diakses mewakili satu bentuk keterangkuman sosial kerana acara sukan utama dapat mewujudkan pengalaman bersama merentasi kaum, umur, geografi dan pendapatan.
"Semasa perlawanan bola sepak utama, restoran mamak, ruang tamu di rumah, dewan komuniti dan kawasan tontonan awam menjadi ruang yang dikongsi bersama-sama rakyat Malaysia," katanya.
Mohd Mizan berkata pendekatan Anwar menunjukkan bahawa diplomasi hari ini berlangsung jauh melangkaui bilik persidangan rasmi, dengan Malaysia menggunakan F1 dan FIFA untuk mendekatkan dunia dengan rakyatnya sambil memperkukuh kedudukan di pentas sukan antarabangsa.
"Kadangkala, diplomasi berlaku melalui rundingan dua hala. Ada kalanya diplomasi terjadi menerusi bola sepak dan kadang-kadang, pada kelajuan 300 kilometer sejam di sekitar Sepang," katanya.
-- BERNAMA