Am 03/10/2026 02:46 PM

Agensi Di Bawah KDN Saling Melengkapi, Bukan Beroperasi Bersendirian - Awang Alik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Agensi Di Bawah KDN Saling Melengkapi, Bukan Beroperasi Bersendirian - Awang Alik
Datuk Dr Awang Alik Jeman

LABUAN, 3 Okt (Bernama) -- Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak seharusnya dilihat sebagai entiti yang beroperasi secara berasingan kerana fungsi masing-maisng saling melengkapi dalam memastikan kesejahteraan awam, keselamatan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berkesan.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman berkata kepelbagaian tanggungjawab yang dipikul oleh setiap agensi membuktikan pentingnya kerjasama antara agensi serta pendekatan secara bersepadu.

“Setiap agensi mempunyai peranan dan bidang kepakaran masing-masing namun pada akhirnya, kesemua fungsi ini saling melengkapi dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara.

“Kita mungkin daripada agensi yang berbeza dan menjalankan fungsi yang berlainan tetapi kita mempunyai matlamat yang sama iaitu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya pada Program Jelajah Wira MADANI di Labuan International School di sini hari ini.

Beliau berkata skop tanggungjawab kementerian berkenaan meliputi pelbagai bidang antaranya pendaftaran dan dokumen pengenalan diri, imigresen, keselamatan, penguatkuasaan, penjara, pencegahan jenayah serta perkhidmatan awam lain.

Awang Alik berkata penyampaian perkhidmatan yang berkesan tidak boleh sekadar bergantung kepada satu agensi khususnya apabila isu di lapangan sering memerlukan kerjasama dan penyelarasan antara pihak yang mempunyai tanggungjawab, kepakaran serta sumber berbeza.

“Kejayaan pelaksanaan sesuatu program seperti Jelajah Wira MADANI tidak boleh dicapai melalui usaha satu agensi sahaja sebaliknya hasil daripada kerjasama antara agensi yang menggabungkan kekuatan, kepakaran dan sumber pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata kerjasama melibatkan kementerian, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pusat Koreksional Labuan serta agensi lain yang mengambil bahagian menunjukkan bahawa agensi kerajaan mampu bergerak sebagai satu pasukan dalam mencapai matlamat bersama-sama.

Awang Alik berkata Jelajah Wira MADANI turut memberi peluang kepada orang awam untuk lebih memahami peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi di bawah KDN.

Beliau berkata penglibatan agensi secara bersama di lapangan turut membolehkan pegawai memahami secara langsung kegusaran orang awam, memperjelas isu yang timbul serta mendapatkan maklum balas yang boleh digunakan untuk menambah baik prosedur dan penyampaian perkhidmatan.

Awang Alik turut berharap kerjasama antara KDN, JPN, PACU dan agensi lain terus diperkukuh menerusi pelaksanaan inisiatif pada masa akan datang.

“Semangat bekerja sebagai satu pasukan kerajaan amat penting bagi memastikan perkhidmatan terus mudah diakses, responsif serta berteraskan keperluan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA