Am 03/10/2026 10:47 AM

ICQS Rantau Panjang Bakal Diganti Dengan Kompleks Baharu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ICQS Rantau Panjang Bakal Diganti Dengan Kompleks Baharu

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

PASIR MAS, 3 Okt (Bernama) -- Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini bakal digantikan dengan kompleks baharu bagi menampung peningkatan pergerakan rentas sempadan, susulan pembinaan jambatan kedua Malaysia–Thailand.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang Siti Khadijah Hamzah berkata cadangan pembinaan kompleks baharu itu telah dirancang Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk pengambilan tanah bagi pembangunan berkenaan yang telah diselesaikan.

Beliau berkata kompleks sedia ada yang telah lama beroperasi tidak lagi sesuai untuk menampung peningkatan jumlah pengembara, selain menghadapi kekangan dari segi keluasan dan aliran trafik.

“Kompleks yang baharu itu akan dibina dan yang sedia ada akan dirobohkan selepas kompleks baharu siap,” katanya kepada Bernama di Kompleks ICQS Rantau Panjang, baru-baru ini.

Siti Khadijah berkata pembinaan jambatan kedua di sebelah Thailand dan Malaysia juga sedang dilaksanakan, manakala kompleks baharu itu akan direka dengan aliran pergerakan yang lebih teratur.

Beliau berkata antara perancangannya ialah memisahkan laluan keluar dari Malaysia dan laluan masuk ke negara ini bagi melancarkan pergerakan pengembara.

“Apabila siap nanti, laluan ini akan digunakan untuk masuk dan satu lagi laluan untuk keluar Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa tarikh siap kompleks baharu itu masih belum dapat dipastikan.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur baharu itu penting memandangkan ICQS Rantau Panjang merupakan antara pintu masuk utama yang mencatat pergerakan rentas sempadan tinggi.

Selain itu, Siti Khadijah berkata penambahbaikan tersebut dijangka membantu menangani isu kesesakan yang kerap berlaku, terutama pada hujung minggu, cuti umum dan musim perayaan.

Jumlah pergerakan keluar masuk di kompleks ICQS berkenaan, katanya, boleh mencecah 5,000 orang sehari ketika waktu puncak, khususnya pada hujung minggu dan cuti umum, manakala 2,000 hingga 3,000 orang pada hari biasa.

Siti Khadijah berkata majoriti pengguna ICQS itu terdiri daripada rakyat Malaysia dan Thailand, dengan rakyat Malaysia lazimnya ke Thailand bagi tujuan rekreasi, makanan dan percutian, manakala rakyat Thailand pula menggunakan laluan berkenaan bagi urusan harian termasuk membeli barangan serta urusan perniagaan.

Beliau berkata jumlah pergerakan yang tinggi turut menyebabkan kesesakan, terutama pada waktu puncak, justeru keadaan itu memerlukan perancangan infrastruktur yang lebih bersesuaian bagi memastikan kelancaran perjalanan pengembara pada masa hadapan

“Kita memang buka 100 peratus kaunter, terutama pada Jumaat dan Sabtu. Tiada kaunter yang kosong … ICQS Rantau Panjang mempunyai 12 kaunter pemeriksaan imigresen, masing-masing enam bagi laluan masuk dan enam bagi laluan keluar,” katanya.

Kompleks ICQS Rantau Panjang terletak di sempadan Malaysia–Thailand di Pasir Mas dan merupakan satu daripada tiga pintu masuk rasmi Kelantan selain ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah dan Pengkalan Kubor, Tumpat.

Dari segi fungsi, ICQS menjadi pusat penyelarasan pemeriksaan dan kawalan keluar masuk negara. Selain Jabatan Imigresen, kompleks itu menempatkan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta Jabatan Sukarelawan. 

Kedudukannya juga sangat strategik kerana berhadapan dengan Sungai Golok yang menjadi sempadan kedua-dua negara, namun kawasan ini mempunyai cabaran keselamatan tersendiri termasuk aktiviti penyeludupan dan kemasukan melalui laluan tidak rasmi.

-- BERNAMA