KOTA KINABALU, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sedang menyiasat kematian seekor gajah Borneo yang ditemukan di Sungai Kinabatangan, berhampiran Angco Jaya Plantation dan Santuari Hidupan Liar Kinabatangan, Rabu lepas.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata bangkai gajah jantan setinggi kira-kira 1.8 meter dan dianggarkan berusia 14 hingga 18 tahun itu dipercayai dihanyutkan arus sungai.
“Berdasarkan keadaan bangkai, gajah berkenaan dipercayai telah mati empat hingga lima hari dan hasil pemeriksaan fizikal awal mendapati beberapa kecederaan selain gadingnya hilang.
“Pada peringkat ini, kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung punca kecederaan, kehilangan gading atau kematian kerana perkara itu memerlukan siasatan lanjut dan disokong dengan bukti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bedah siasat dijalankan JHL Sabah pada 1 Okt, dengan sampel organ dan kandungan perut diambil untuk analisis makmal bagi menentukan punca kematian.
Jafry berkata jabatan itu turut mengambil keterangan daripada individu yang pertama melaporkan kejadian berkenaan sebagai sebahagian daripada siasatan susulan.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang perlindungan hidupan liar sekiranya terdapat penglibatan manusia atau pelanggaran undang-undang,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan, selain menasihatkan supaya tidak membuat spekulasi awal sehingga hasil analisis saintifik dimuktamadkan.
-- BERNAMA