CHUKAI, 3 Okt (Bernama) -- Sebanyak 690 anak tuntung dilepaskan ke habitat semula jadi di Sungai Kemaman berhampiran Kampung Pasir Gajah di sini hari ini.
Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS) Dr Chen Pelf Nyok berkata anak tuntung berusia lima bulan itu hasil penetasan telur yang dikutip dan dieram selama tiga bulan sebelum dipelihara sementara di Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah.
Beliau berkata pihaknya mengutip lebih 1,600 telur tuntung tahun ini dengan lebih 1,200 daripadanya berjaya menetas sebelum dilepaskan secara berperingkat.
"Saya berharap anak tuntung yang dilepaskan ini dapat membesar sehingga mencapai usia matang dan kembali ke kawasan sungai berkenaan untuk bertelur," katanya ketika ditemui pada program pelepasan itu.
Pada program tahun lepas, sebanyak 680 anak tuntung dilepaskan di sungai berkenaan.
Selain itu, Chen turut berharap agar masyarakat setempat lebih menghargai khazanah hidupan liar yang terdapat di kawasan mereka manakala pengunjung dari luar dapat membantu menyebarkan kesedaran mengenai pemuliharaan tuntung menerusi media sosial.
"Menerusi program ini lebih ramai orang dapat mengenali tuntung dan bersama-sama membantu usaha pemuliharaan spesies yang semakin terancam," katanya.
Beliau berkata selain Sungai Kemaman, tuntung turut ditemukan di Sungai Terengganu dan Sungai Dungun dengan usaha pemuliharaan di kawasan berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
Sementara itu, seorang pengunjung Noor Hayati Mamat, 35, berkata dia teruja kerana berpeluang memegang dan melepaskan anak tuntung buat kali pertama pada program berkenaan.
"Pengalaman ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung mengenali tuntung dengan lebih dekat, malah dapat memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam melindungi habitat semula jadinya," katanya.
Seorang lagi pengunjung Hanafiah Harun, 48, berkata program itu mendekatkan masyarakat dengan usaha pemuliharaan hidupan liar, selain memberi pendedahan secara langsung mengenai kepentingan melindungi tuntung.
"Penglibatan orang ramai mampu menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar khususnya dalam kalangan generasi muda dan menggalakkan masyarakat memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan tuntung di habitat semula jadi," katanya.
-- BERNAMA