TUARAN, 3 Okt (Bernama) -- Persepsi bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) melibatkan latihan keras seperti tentera tidak tepat, justeru pelatih tidak perlu takut untuk menyertainya, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Pelatih Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Kol Mazlizan Shaikh Osman.
Beliau berkata elemen ketenteraan yang diserapkan dalam latihan itu adalah kurang daripada 10 peratus, sebaliknya program berkenaan lebih kepada memberi pendedahan kepada aktiviti ketahanan diri serta pembentukan sahsiah belia.
“Latihan ini bukan keras seperti tentera tetapi kita berikan pendedahan seperti merentas halangan, abseiling (menakik turun) dari menara, pandu arah, ikhtiar hidup serta pendedahan senjata M16,” katanya kepada pemberita pada sesi lapor diri PLKN 3.0 Siri 4/2026 di Kem Pusat Latihan RELA Sabah di sini hari ini.
Latihan itu turut menerapkan modul khas daripada pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Akademi Kepimpinan Malaysia.
Beliau berkata program berkenaan merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan semangat patriotisme, perpaduan, disiplin dan ketahanan diri dalam kalangan belia sebagai bakal pemimpin masa hadapan.
Mazlizan berkata hasil enam siri latihan sebelum ini menunjukkan lebih 80 peratus pelatih bersetuju program berkenaan memberi impak positif, manakala lebih 90 peratus ibu bapa memberikan maklum balas sangat baik.
Mengenai pendaftaran di Kem Pusat Latihan RELA Sabah, beliau berkata 165 pelatih lelaki dan 80 pelatih perempuan dijadual menyertai siri latihan selama 45 hari yang akan berakhir dengan perbarisan tamat latihan pada 16 Nov ini.
Beliau menjelaskan kem itu merupakan satu-satunya kem di Borneo dan menempatkan pelatih lelaki serta perempuan di premis sama manakala tujuh lagi kem di seluruh negara diasingkan mengikut jantina.
Beliau berkata fasa awal pendaftaran merangkumi urusan pentadbiran kem, pengagihan kelengkapan pakaian serta pemotongan rambut bagi pelatih lelaki yang dijangka dilakukan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh latihan.
Mengenai proses pemilihan, katanya pelatih yang lahir pada 2008 dipilih secara rawak menerusi sistem baloting berasaskan Akta Latihan Khidmat Negara 2003, namun permohonan penangguhan dibenarkan bagi mereka yang menyambung pengajian atau mempunyai alasan munasabah.
Beliau menambah pendaftaran secara sukarela turut dibuka kepada belia berumur 17 hingga 25 tahun, termasuk mereka yang memiliki kelulusan ijazah dan sarjana.
Mazlizan berkata pelatih yang tamat latihan akan menerima merit khas daripada lima pihak berkuasa melantik bagi permohonan jawatan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bidang kehakiman dan perundangan serta sektor pendidikan.
“Bagi pelatih yang kurang cemerlang dalam akademik, mereka akan disalurkan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengikut minat masing-masing untuk menyambung pelajaran,” katanya.
Di samping itu, Program Eksplorasi Kerjaya turut dianjurkan sepanjang tempoh latihan dengan menjemput agensi kerajaan, badan beruniform, SPA dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memberi pendedahan peluang kerjaya kepada para pelatih.
-- BERNAMA