TUARAN, 3 Okt (Bernama) -- Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diharapkan menjadi wadah terbaik dalam membina jati diri belia dan memupuk persahabatan yang berkekalan dalam kalangan pelatih.
Pelatih baharu Muhammad Danish Khusairy Hazri, 17, berkata dia terkejut apabila menerima mesej tawaran penyertaan PLKN, namun mahu memanfaatkan peluang latihan berkenaan untuk memupuk disiplin diri.
“Saya mahu gunakan sepenuhnya latihan di kem untuk meningkatkan disiplin dan bertahan demi memenuhi harapan keluarga,” katanya kepada Bernama selepas melaporkan diri pada PLKN 3.0 Siri 4/2026 di Kem Pusat Latihan RELA Sabah di sini hari ini.
Sebanyak 165 pelatih lelaki dan 80 pelatih perempuan dijadualkan menyertai siri latihan di kem berkenaan selama 45 hari yang akan berakhir pada 16 Nov ini.
Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berharap PLKN dapat memberikan pengalaman dan menyediakan dirinya menempuhi alam pekerjaan selepas ini terutamanya dalam bidang diminatinya iaitu kulinari.
Pelatih Rachel Veralyn Dolimis, 18, dari Kampung Rugading, Penampang berkata pengalaman tinggal di asrama sekolah menengah sebelum ini memudahkan proses penyesuaian dirinya untuk berdikari di kem latihan dan mendapat lebih ramai rakan.
“Saya berasa gementar bila kali pertama berhadapan dengan ramai rakan baharu. Jadi saya berharap latihan ini dapat menjadikan saya lebih berani berkomunikasi dan berkeyakinan tinggi,” katanya yang membuat persediaan awal dari segi mental dan barang keperluan.
Peniaga kecil dari Ketiau, Putatan, Iyana Musa Taulani, 42, mengakui pada peringkat awal berasa bimbang mengenai persepsi latihan keras dan isu keselamatan terhadap anak perempuannya.
“Mula-mula memang timbul rasa takut selepas mendengar pelbagai khabar angin, namun selepas pencerahan daripada pegawai kem, saya yakin program ini membawa banyak kebaikan terutamanya aspek disiplin,” katanya.
Iyana berharap program berkenaan berupaya memberikan pendedahan positif kepada anak keempatnya daripada enam beradik yang bersifat introvert untuk meluaskan jaringan persahabatan dan membina sahsiah diri yang kental mendepani cabaran masa hadapan.
-- BERNAMA