Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 perlu menumpukan aspek bagi memastikan pelaburan dalam teknologi berupaya memberi manfaat dari segi produktiviti, kualiti serta daya tahan rantaian bekalan dan tidak setakat menggalakkan pengilang menggunapakai teknologi baharu, menurut syarikat teknologi Epicor.
Pengarah Jualan Serantau Epicor bagi Malaysia dan Singapura, Ben Lim berkata ini penting terutamanya bagi kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan sokongan untuk mengubah pelaburan digital kepada peningkatan produktiviti jangka panjang.
“Harapan dan peluang daripada Belanjawan 2027 adalah untuk menggerakkan perbincangan daripada penerimaan teknologi kepada hasil yang dapat dicapai menerusinya.
“Persoalannya bukan mengenai bagaimana menggalakkan pengilang meningkatkan pelaburan, tetapi untuk membantu mereka mengubah pelaburan kepada produktiviti lebih tinggi, pekerjaan lebih baik dan daya saing lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.
Menjelaskan selanjutnya, Lim berkata sektor pembuatan Malaysia mencatat momentum kukuh dengan jualan sektor pembuatan mencecah RM177.3 bilion pada Julai lepas -- peningkatan sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun manakala industri berorientasikan eksport menyumbang lebih daripada 72 peratus dari segi jualan.
Dalam persekitaran itu, beliau berkata sokongan kerajaan juga sewajarnya dinilai berdasarkan hasil atau manfaat daripada teknologi, termasuk peningkatan produktiviti, pengurangan masa henti dan pembaziran, kualiti lebih baik, rantaian bekalan tempatan lebih kukuh serta peningkatan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Lim juga menyifatkan asas operasi dan data yang tepat juga penting bagi memastikan pengeluar mampu merealisasikan nilai perniagaan daripada kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, ini berikutan sistem berasingan untuk pembelian, inventori, pengeluaran dan kewangan boleh menjejaskan usaha membentuk gambaran operasi yang konsisten.
“AI hanya memberi manfaat selagi mana maklumat dan proses yang mampu dicapainya. Apabila proses pembelian, inventori, pengeluaran dan kewangan membabitkan sistem atau lembaran imbangan berasingan, kalangan pengeluar berkemungkinan bergelut untuk mewujudkan gambaran operasi yang diperlukan bagi menggunakan AI secara berkesan,” katanya.
Beliau juga menekankan aspek pelaburan digital wajar diiringi dengan pelaburan dalam tenaga kerja, terutama menerusi latihan amali atau industri dalam analisis data, perancangan pengeluaran digital serta aliran kerja dipacu AI bagi membolehkan kakitangan bergerak kepada peranan yang lebih bernilai tinggi.
Mengulas daya tahan rantaian bekalan, Lim berkata Belanjawan 2027 juga perlu membantu pengeluar mempelbagaikan bekalan dan pasaran masing-masing dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan terhadap penyumberan bahan mentah penting secara individu.
Pada masa sama, beliau berkata program seperti pemerkasan pembangunan pembekal bagi menghubungkan PKS Malaysia dengan syarikat multinasional serta pengilang tempatan berskala lebih besar yang disertai sokongan pensijilan, peningkatan teknologi, pendigitalan dan latihan tenaga kerja, dapat membantu lebih banyak perniagaan tempatan menyertai rantaian bekalan bernilai lebih tinggi.
“Pada akhirnya, matlamat itu perlu disasarkan bagi membantu pengeluar Malaysia mewujudkan ketangkasan lebih ketara dalam operasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata perniagaan juga perlu berupaya melihat sebarang perubahan dengan lebih awal, memahami impak serta dapat memberi maklum balas selain terus berusaha mendapatkan peluang-peluang baharu.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 9 Oktober ini.
-- BERNAMA