KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Malaysia dan New Zealand memacu usaha untuk mengukuhkan kerjasama menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik tahun depan.
Komitmen itu ditegaskan semasa rundingan dua hala Malaysia-New Zealand kesembilan pada 1 Okt di Wellington bagi menilai kemajuan dalam kerjasama dua hala serta membincangkan peluang untuk mengukuhkan lagi perkongsian itu.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Timbalan Setiausaha Kementerian Luar dan Perdagangan New Zealand (Kumpulan Amerika dan Asia) Grahame Morton.
Perbincangan itu mencerminkan komitmen yang dikongsi kedua-dua negara untuk mengekalkan dialog rapat dan dalam menterjemahkan persahabatan yang telah lama terjalin kepada kerjasama praktikal yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyat, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington.
“Menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik yang semakin hampir pada 2027, kami berharap untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk berhubung, bekerjasama dan meraikan hubungan yang berkekalan antara Malaysia dan New Zealand,” tambahnya.
-- BERNAMA