Am 03/10/2026 11:30 AM

Azizulhasni Sedia "Perlahan Rentak" Demi LA28

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Azizulhasni Sedia
Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas kelapan Malaysia selepas memenangi final acara Keirin lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Izu Velodrome hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

SHIZUOKA, 3 Okt (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang mahu mengehadkan penyertaan dalam kejohanan selepas Kejohanan Dunia di Shanghai dari 14 hingga 18 Okt ini bagi memberi ruang kepada proses pemulihan fizikal dan mental sebelum membina semula prestasi menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pelumba berusia 38 tahun itu berkata beliau tidak mahu terburu-buru dalam tempoh terdekat, sebaliknya mahu memberi ruang kepada tubuh dan mentalnya untuk berehat sebelum memasuki fasa pembinaan semula secara berperingkat.

Beliau berkata meskipun Kejohanan Dunia di Shanghai menjadi kejohanan kelayakan pertama menuju LA28, perancangannya selepas itu lebih menjurus kepada persiapan jangka panjang dengan memberi tumpuan kepada pembinaan asas kecergasan dan kekuatan.

“Shanghai adalah yang pertama untuk kelayakan ke LA. Selepas itu, saya perlu memperlahankan rentak untuk merehatkan mental dan fizikal sebelum membina semula prestasi.

“Secara perlahan-lahan, saya mahu memberi fokus kepada asas, termasuk memperbaiki aspek di gimnasium bagi memastikan saya dapat mencapai prestasi terbaik dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun menuju ke LA,” katanya ketika ditemui di Velodrom Izu di sini, semalam.

Azizulhasni berkata keputusan untuk “memperlahankan rentak” selepas Kejohanan Dunia itu mungkin mengejutkan sesetengah pihak, namun langkah berkenaan penting bagi memastikan persiapannya ke LA28 dapat dibina secara terancang.

The Pocket Rocketman berkata fokusnya selepas ini bukan sekadar mengejar keputusan dalam tempoh terdekat, sebaliknya memastikan setiap aspek persiapannya diperkukuh secara berperingkat bagi mencapai tahap terbaik menjelang LA28.

Semalam, Azizulhasni mencipta sejarah tersendiri di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila mengulangi kejayaan emas keirin lelaki yang dimenanginya pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Kejayaan itu menyaksikan beliau menutup kempen Sukan Asia dengan koleksi tiga emas, satu perak dan dua gangsa sepanjang penyertaannya di temasya berkenaan.

-- BERNAMA