Am 03/10/2026 10:18 AM

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Lebih Tinggi Minggu Depan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Lebih Tinggi Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka mengalami ketidaktentuan dari segi penawaran dan permintaan pada minggu hadapan, dengan harga berkemungkinan meningkat sebelum stabil, ia banyak bergantung pada keadaan cuaca, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata pasaran juga dijangka menyaksikan aktiviti jual beli spekulatif yang ketara.

“Terdapat laporan mengenai angin kencang dan hujan lebat di wilayah-wilayah utama pengeluar getah, dan keadaan ini pastinya menjejaskan produktiviti.

“Kita akan terus mengalami hujan lebat, dan diharapkan keadaan akan bertambah baik tidak lama lagi bagi membolehkan pengeluaran pulih sebelum kita memasuki musim monsun pada November dan Disember,” katanya kepada Bernama.

Low berkata terdapat ketidaktentuan dari segi permintaan dan harga, manakala aktiviti jual beli spekulatif terus berleluasa.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) telah meramalkan kejadian ribut petir, angin kencang serta hujan lebat hingga sangat lebat di beberapa kawasan di Thailand.

“Bagi Malaysia pula, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di negara ini,” katanya.

Situasi geopolitik semasa turut mendorong harga komoditi tertentu melepasi jangkaan serta memberi tekanan kepada harga komoditi lain, kata Low.

“Harga minyak dan gas tidak menentu merupakan isu serius yang boleh menjejaskan perniagaan, manakala pengukuhan berterusan dolar Amerika Syarikat (AS) boleh memberi kesan negatif terhadap imbangan pembayaran,” katanya.

Setuju dengan pandangan itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) memaklumkan bahawa keadaan cuaca, khususnya fenomena El Niño di Asia Tenggara dan banjir di Thailand, dijangka menjejaskan pengeluaran getah.

“Harga lateks mungkin kekal kukuh, memandangkan laporan terkini oleh Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) menunjukkan bahawa pengeluaran global mungkin merosot akibat keadaan cuaca yang semakin tidak menentu dan lebih kering.

“Sentimen dagangan juga mungkin bercampur-campur disebabkan oleh konflik yang berterusan di Asia Barat,” menurut persatuan itu.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 4.5 sen kepada 1,044.5 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 19 sen kepada 749.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA