LABUAN, 2 Okt (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Labuan (SME Labuan) menggesa agar pengecualian cukai perkhidmatan di bawah Seksyen 48 Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dilaksanakan bagi perkhidmatan yang dijalankan sepenuhnya di Labuan di bawah Belanjawan 2027.
Presidennya, Jefery Tan berkata persatuan itu turut mencadangkan pengecualian duti import ke atas barangan keluaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berpangkalan di Labuan dan dijual ke bahagian lain di Malaysia, bagi membantu pengeluar tempatan bersaing secara saksama.
Beliau berkata persatuan tersebut menyambut baik keputusan Kabinet untuk mengecualikan PMKS daripada pelaksanaan kenaikan gaji minimum baharu.
“Keputusan itu menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar memahami tekanan yang dihadapi oleh perniagaan kecil.
“Pemahaman yang sama boleh membawa perbezaan yang ketara di Labuan, memandangkan perniagaan di sini perlu menanggung kos tambahan akibat beroperasi di sebuah pulau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai pengecualian cukai perkhidmatan, Tan berkata Seksyen 48 memperuntukkan tiada cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh perniagaan di Labuan di dalam Kawasan Ditetapkan.
“Seksyen 48 telah termaktub dalam undang-undang sejak 2018. Pelaksanaannya mengikut tujuan asal adalah bagi memastikan industri utama tidak dikenakan cukai bertindih bagi kerja yang dijalankan di premis mereka sendiri, yang terletak di dalam Kawasan Ditetapkan, serta memastikan penggunaan khidmat penyedia perkhidmatan tempatan kekal sebagai pilihan utama,” katanya.
Tambah Tan lagi, pemain industri utama sering memberi kontrak berskala besar yang melibatkan pelbagai disiplin kepada kontraktor berpangkalan di tempat lain di Malaysia, dan kemudiannya melantik penyedia perkhidmatan di Labuan untuk menjalankan sebahagian daripada kerja tersebut.
“Jika Seksyen 48 dilaksanakan seperti yang ditetapkan, pemain industri utama hanya membayar cukai perkhidmatan sekali sahaja, iaitu ke atas invois kontraktor.
“Jika tidak, mereka membayar cukai berdasarkan harga yang sudah pun merangkumi cukai," katanya.
Tan berkata pada kadar cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus, setiap kerja bernilai RM100,000 yang dilakukan oleh penyedia perkhidmatan Labuan boleh menambah RM8,640 kepada kos itu, termasuk RM640 bagi cukai yang dikenakan ke atas cukai.
Katanya, persatuan itu telah mengadakan libat urus dengan Perbadanan Labuan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung perkara tersebut sejak Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh menubuhkan Pasukan Petugas Industri Labuan pada Februari.
“Persatuan berpendapat Belanjawan 2027 adalah masa yang tepat untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.
Mengenai cadangan pengecualian duti import, Tan berkata pengeluar PMKS Labuan, termasuk pemproses makanan dan makanan laut, bergantung pada jualan ke bahagian lain di Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau berkata barangan yang dihasilkan di Labuan dianggap sebagai import apabila dibawa keluar dari pulau itu dan mungkin dikenakan duti import, sekali gus meletakkan pengeluar tempatan pada kedudukan yang kurang berfaedah berbanding pengeluar di tempat lain di Malaysia.
“Mereka mendapatkan bahan dari Malaysia, mengupah pekerja Malaysia dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan Malaysia.
“Pengecualian duti import ini akan membantu mereka bersaing secara saksama,” katanya.
Oleh itu, persatuan itu mencadangkan agar perkhidmatan yang dibekalkan di Labuan oleh penyedia berpangkalan di Labuan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan tanpa mengira lokasi pelanggan didaftarkan, dengan lokasi pelanggan ditentukan berdasarkan alamat perniagaan berdaftar dan lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan mereka.
Persatuan itu turut mencadangkan agar barangan yang dihasilkan di Labuan oleh PMKS, yang mempunyai nilai tambah tempatan yang tulen, dikecualikan daripada duti import apabila dijual di tempat lain di Malaysia.
Tan juga berkata persatuan itu menyokong usaha meneruskan percukaian di bawah Seksyen 50 bagi perkhidmatan yang dibekalkan ke Labuan oleh syarikat yang berpangkalan di tempat lain.
"Cadangan kami mungkin memberi kesan yang sederhana terhadap hasil negara, namun akan membawa perubahan bermakna kepada perniagaan dan peluang pekerjaan di Labuan," katanya.
Beliau turut memberi penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Wilayah Persekutuan, JKDM dan Perbadanan Labuan atas penglibatan mereka, serta menyuarakan harapan agar langkah itu akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2027.
--BERNAMA