KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Projek naik taraf blok baharu Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini berada pada fasa akhir pelaksanaan.
Pihak Pengurusan HKL dalam kenyataan hari ini berkata terdapat beberapa perkara yang dikenal pasti memerlukan kerja pembaikan dan penambahbaikan dalam proses pemeriksaan serta penyempurnaan projek sebelum fasiliti itu dapat disiapkan.
“Kerja berkenaan sedang diberikan perhatian dan keutamaan dengan penyelesaian dijangka dilaksanakan hingga akhir 2026,” menurut kenyataan itu.
HKL memaklumkan pihak hospital komited untuk memastikan setiap kerja pembaikan dilaksanakan dengan sewajarnya bagi memenuhi keperluan keselamatan, fungsi dan kualiti fasiliti sebelum projek dimuktamadkan.
Operasi dan penyampaian perkhidmatan kesihatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL diteruskan seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.
HKL turut menghargai kerjasama, kesabaran dan pemahaman orang ramai sepanjang kerja itu dilaksanakan serta memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul.
-- BERNAMA