SEPANG, 2 Okt (Bernama) -- Pelumba Red Bull Racing Max Verstappen menyifatkan hari pembukaannya di Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain Formula 1 (F1) di Malaysia 2026 bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, sebagai positif meskipun berdepan sesi latihan kedua yang sukar, hari ini.
Juara dunia empat kali itu, menampilkan prestasi cemerlang pada sesi latihan bebas pembukaan dengan mengungguli sesi tersebut menerusi catatan masa 1 minit 37.520 saat (s), sebelum jatuh ke tempat keempat pada sesi latihan kedua dengan 1:37.785s.
Verstappen, yang memenangi GP Malaysia terakhir pada tahun 2017 di sini, berkata litar yang panas dan kadar kehausan tayar yang tinggi merupakan cabaran utama yang ditempuhinya pada kedua-dua sesi.
“Saya rasa kami mempunyai permulaan yang baik, tetapi ia agak rumit. Litar ini benar-benar panas dan kadar kehausannya tinggi, jadi banyak perkara yang perlu diselesaikan, namun ia sesuatu yang positif,” katanya dalam satu temu bual dengan F1 selepas sesi latihan bebas tersebut.
Pelumba Belanda itu berkata adalah sukar untuk menilai kemajuan antara kedua-dua sesi tersebut, memandangkan sesi kedua diadakan dalam keadaan yang lebih panas dan pasukan pula menjalankan program yang berbeza-beza.
Sementara itu, pemandu pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1, George Russell, yang memandu di SIC buat pertama kali berkata, tahap kehausan tayar yang tinggi menjadikan keadaan amat mencabar bagi kesemua pasukan.
“Saya rasa sebagai sebuah pasukan, tahap kereta kami belum benar-benar berada di tempat yang diperlukan dan kami perlu membuat beberapa pelarasan pada penalaan kerana rentak kami agak ketinggalan,” katanya.
Pelumba Britain itu merekodkan masa kedua terpantas pada sesi latihan bebas pembukaan dengan catatan 1:37.903s, sebelum menamatkan sesi latihan bebas kedua di tempat ketujuh dengan 1:38.020s.
Sesi latihan bebas ketiga dan terakhir dijadualkan bermula pada pukul 12.30 tengah hari esok sebelum sesi kelayakan pada lewat hari yang sama.
Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu mengekalkan GP Bahrain di dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan tersebut dibatalkan pada awal musim berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di SIC dari tahun 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.
-- BERNAMA