KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Polis menahan 46 warga asing disyaki menjalankan kegiatan pusat panggilan perjudian dalam serbuan di sembilan lokasi sekitar ibu negara pada semalam dan hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dalam serbuan Ops Dadu Khas, polis turut merampas antaranya 24 komputer riba, 71 telefon bimbit, 10 modem dan wang tunai berjumlah RM23,000.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian yang menyasarkan pelanggan dari China, Korea dan Filipina.
“Mereka aktif melakukan kegiatan ini dari sebulan hingga tiga bulan dengan purata gaji RM2,000 hingga RM3,500,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fadil berkata semua suspek direman satu hingga 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau menasihati orang awam agar menjauhi sebarang bentuk aktiviti perjudian dan berwaspada terhadap taktik penipuan yang menggunakan modus operandi pusat panggilan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian dan penipuan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2115 9999 atau balai polis berhampiran.
-- BERNAMA