Am 03/10/2026 12:26 AM

8,000 Peniaga Perbaharui Lesen Perniagaan DBKL Dalam Tempoh Dua Bulan - Hannah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
8,000 Peniaga Perbaharui Lesen Perniagaan DBKL Dalam Tempoh Dua Bulan - Hannah

PETALING JAYA, 2 Okt (Bernama) -- Sebanyak 8,000 peniaga di Kuala Lumpur telah memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam tempoh dua bulan sejak inisiatif baharu itu diperkenalkan pada Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata sebanyak 704 peniaga memilih untuk memperbaharui lesen bagi tempoh dua tahun manakala 1,802 peniaga mengambil peluang memperbaharui lesen mereka untuk tempoh tiga tahun.

“Saya gembira untuk memaklumkan dalam tempoh hanya dua bulan, 8,000 peniaga di Kuala Lumpur telah memperbaharui lesen perniagaan mereka untuk tempoh satu tahun. Bagi tempoh dua tahun, mereka mendapat diskaun 5 peratus dan sebanyak 704 peniaga telah berbuat demikian manakala bagi pembaharuan selama tiga tahun, mereka mendapat diskaun 10 peratus bagi lesen perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-122 Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) di sini malam ini yang bertemakan Connecting Business, Shaping Tomorrow.

Hannah berkata inisiatif yang membolehkan peniaga memperbaharui lesen mereka sehingga tiga tahun itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memudahkan urusan peniaga dengan kerajaan, sambil menambah proses yang berulang boleh mengambil masa yang sepatutnya digunakan untuk menguruskan perniagaan.

“Ini mungkin kedengaran seperti perubahan yang sangat kecil tetapi jika anda menjalankan perniagaan, perkara seperti ini penting. Setiap proses tambahan mengambil masa yang sepatutnya digunakan untuk menguruskan perniagaan.

“Jika anda telah mematuhi peraturan, saya tidak fikir kerajaan perlu terus meminta anda mengulangi proses yang sama tanpa keperluan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Datuk Ng Yih Pyng mengalu-alukan pengenalan pembaharuan lesen perniagaan sehingga tiga tahun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja mengurangkan kerja pentadbiran yang berulang, malah memberikan kepastian yang lebih besar kepada peniaga untuk membuat perancangan lebih awal.

Ng berkata KLSCCCI kekal teguh dalam misinya sejak 122 tahun lepas untuk menyatukan komuniti peniaga, mewakili suara peniaga, memupuk kerjasama perdagangan dan perindustrian serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk perniagaan berkembang.

-- BERNAMA