Am 03/10/2026 12:14 AM

Aichi-Nagoya 2026: Sembilan Emas, Malaysia Di Ambang Cipta Rekod Baharu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Aichi-Nagoya 2026: Sembilan Emas, Malaysia Di Ambang Cipta Rekod Baharu
Infografik BERNAMA - bernama.com/bm/infografik

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

NAGOYA, 2 Okt (Bernama) -- Malaysia mengutip tiga lagi pingat emas pada hari ke-14 Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 untuk menyamai pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan pada temasya sukan terbesar di Asia itu.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia mengumpul sembilan pingat emas, sekali gus menyamai jumlah yang diraih pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Kini, Malaysia di ambang mencipta rekod baharu dan sejarah mungkin tercipta menerusi acara padel beregu lelaki dan hoki lelaki yang beraksi pada perlawanan akhir esok.

Gandingan Christian Didier Chin-Aidan Yunus akan berentap dalam final padel lelaki pada penampilan sulung sukan berkenaan di Sukan Asia manakala skuad Speedy Tigers menentang juara bertahan India dalam perebutan emas hoki.

Tiga emas hari ini disumbangkan oleh jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerusi keirin lelaki, selain skuad skuasy wanita dan lelaki yang masing-masing menjuarai acara berpasukan.

Kejayaan itu menambah kepada dua emas yang diraih skuasy menerusi S. Sivasangari dan Ng Eain Yow dalam acara perseorangan.

Bagi Azizulhasni, emas keirin menutup penampilan terakhirnya pada Sukan Asia dengan koleksi tiga emas, satu perak dan dua gangsa.

Satu kemenangan daripada dua final esok sudah memadai untuk kontinjen negara mencatat kutipan emas tertinggi sepanjang penyertaan pada temasya berkenaan sebelum menutup tirai Ahad ini.

-- BERNAMA