KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Malaysia meneroka peluang kerjasama dengan syarikat aeroangkasa dan pertahanan dari Brazil Embraer Defense & Security bagi membolehkan negara menyertai rantaian bekalan syarikat itu di peringkat serantau serta global.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Komersial syarikat berkenaan Frederico Lemos di Wisma Pertahanan hari ini.
Beliau berkata syarikat itu mempunyai kepakaran dalam pembangunan pesawat serta penyelesaian pertahanan bersepadu.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan ekosistem hiliran tempatan, termasuk peluang Malaysia menyertai rantaian bekalan Embraer di peringkat serantau dan global.
“Potensi ini selari dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
-- BERNAMA