PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Sebanyak 155 pegawai dan anggota, serta 12 aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan, kecemasan dan operasi penyelamatan berada pada tahap optimum sepanjang penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dari 2 hingga 4 Okt.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata penugasan itu adalah sebahagian daripada komitmen jabatan dalam menyokong penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa di Malaysia, selain memastikan aspek keselamatan dan kesiapsiagaan operasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
“JBPM sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan dalam penganjuran acara berskala besar, khususnya melibatkan kehadiran orang ramai, peserta serta delegasi dari dalam dan luar negara.
“Penugasan pegawai, anggota dan aset JBPM di lokasi-lokasi strategik adalah untuk memastikan sebarang keperluan kecemasan serta penyelamatan dapat ditangani dengan pantas, teratur dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebanyak 12 aset jabatan digerakkan sepanjang perlumbaan itu, terdiri daripada sebuah Fire Rescue Tender, dua Compact Fire Rescue Tender, sebuah Water Tanker berkapasiti 10,000 liter, tiga ambulans Emergency Medical Rescue Services dan empat bas JBPM.
Nor Hisham berkata sebuah helikopter A109E turut ditempatkan di SIC bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi JBPM serta menyokong keperluan pemantauan, kecemasan dan operasi penyelamatan sekiranya diperlukan.
Dari aspek keanggotaan, beliau berkata sebanyak 153 pegawai dan anggota bomba yang terdiri daripada fire marshal, pasukan perubatan serta medevac personnel ditugaskan di lokasi bagi tujuan kesiapsiagaan.
Menurut Nor Hisham, koordinasi antara JBPM, pihak penganjur dan agensi berkaitan turut diperkukuh bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sepanjang perlumbaan berada pada tahap yang ditetapkan.
“Keselamatan pengunjung, peserta, petugas dan semua pihak yang terlibat menjadi keutamaan dan JBPM akan memastikan setiap penugasan dilaksanakan berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.
Penganjuran F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 selama tiga hari yang bermula hari ini adalah acara sukan permotoran bertaraf dunia yang kembali berlangsung di negara ini selepas kali terakhir Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 pada 2017.
-- BERNAMA