Am 02/10/2026 06:45 PM

F1 GP Bahrain: Leclerc Catat Masa Terpantas Pada Sesi Latihan Bebas Kedua Di Sepang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
F1 GP Bahrain: Leclerc Catat Masa Terpantas Pada Sesi Latihan Bebas Kedua Di Sepang
Bahang Formula 1 (F1) semakin terasa apabila para peminat sukan permotoran memenuhi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menyaksikan sesi Latihan Bebas Kedua Gulf Air Bahrain Grand Prix hari ini. Pemandu Scuderia Ferrari Charles Leclerc tampil terpantas dalam sesi berkenaan dengan catatan masa 1:23.528. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEPANG, 2 Okt (Bernama) -- Pelumba Ferrari Charles Leclerc tampil cemerlang pada sesi latihan bebas kedua selepas merekodkan masa terpantas pada perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Malaysia, hari ini.

Leclerc yang menduduki tempat keempat dengan catatan 1 minit 38.367 saat (s) pada sesi latihan bebas pertama sebelum ini, mencatat masa terpantas 1:37.528s.

Pelumba Red Bull Racing Isack Hadjar di tempat kedua, hanya 0.099s di belakang Leclerc dengan catatan 1:37.627s manakala juara dunia dari McLaren Lando Norris di tempat ketiga (1:37.665s).

Sementara itu, pendahulu sesi latihan bebas pertama Max Verstappen dari Red Bull Racing di tempat keempat (1:37.785s).

Dalam pada itu, pelumba Mercedes-AMG Petronas George Russell di tempat ketujuh (1:38.020s) manakala rakan senegaranya dan pendahulu kejuaraan ketika ini Kimi Antonelli di tempat kelapan (1:38.060s).

Sesi latihan bebas ketiga dan terakhir dijadualkan pada 12.30 tengah hari esok, sebelum sesi kelayakan pada sebelah petang.

Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt susulan perjanjian yang ditandatangani antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perjanjian itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

-- BERNAMA