Am 02/10/2026 06:41 PM

Skuad Skuasy Lelaki Sumbang Emas Kesembilan Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Skuad Skuasy Lelaki Sumbang Emas Kesembilan Malaysia

NAGOYA, 2 Okt (Bernama) -- Skuad skuasy lelaki negara menghadiahkan pingat emas kesembilan buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Pakistan 2-0 pada aksi final di Arena Nagoya Kinjo Futo sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia merampas kembali pingat emas berpasukan lelaki selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, sebelum sekadar memperoleh pingat gangsa di Hangzhou 2022.

Ini adalah emas berganda buat kem skuasy negara hari ini selepas skuad wanita turut mempertahankan pingat emas dengan menewaskan Hong Kong 2-1, sekali gus menjadikan skuasy menyumbang empat pingat emas kepada kontinjen negara pada temasya kali ini.

Pada aksi final tadi, C. Ameeshenraj menyumbang mata pertama buat Malaysia selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menumpaskan Nasir Iqbal 8-11, 11-3, 11-6, 11-4.

Mata kedua hadir menerusi Ng Eain Yow yang menempuh perlawanan sengit sebelum mengecewakan Noor Zaman 11-8, 6-11, 7-11, 11-4, 11-5, sekali gus mengesahkan kemenangan buat skuad negara.

Pada Ahad lepas, Eain Yow dan S. Sivasangari turut menyumbang emas selepas menjuarai acara perseorangan lelaki dan wanita.

Sementara itu, bercakap selepas perlawanan, Eain Yow berkata kemenangan itu cukup bermakna selepas beliau terpaksa bekerja keras untuk menewaskan lawannya, termasuk bangkit daripada ketinggalan 1-2.

“Saya rasa secara keseluruhan, saya sangat gembira. Pada masa sama, agak terkedu kerana saya terpaksa bekerja keras dan berjuang bermati-matian hari ini. Lawan saya bermain dengan sangat baik. Saya tidak pernah dicabar seperti itu sejak dua minggu lepas.

“Saya benar-benar mahu menyumbangkan pingat emas keempat, malah lebih bersungguh-sungguh berbanding minggu lepas. Saingan memang sengit. Saya sangat gembira dapat memenangi pingat keempat serta pingat kesembilan untuk Malaysia,” katanya.

Eain Yow ketika mengulas kejayaan skuad lelaki negara meraih emas berpasukan selepas kali terakhir memenanginya pada 2018 berkata pencapaian itu turut menyelesaikan “tugas yang belum selesai” buat dirinya selepas kecewa pada edisi lepas.

“Pada 2018 adalah penampilan sulung saya, dan saya berjaya menyumbangkan mata kemenangan ketika itu. Jadi, ia adalah satu pengalaman yang sangat bermakna. Namun, pada edisi lepas, saya rasa saya agak mengecewakan pasukan. Saya adalah pemain nombor satu pasukan tetapi tewas kepada pemain India.

“Jadi, saya rasa ada urusan yang belum selesai kali ini, dan saya benar-benar mahu menyumbang. Seperti yang saya katakan pada awal minggu ini, saya cuma mahu memberikan sumbangan besar kepada pasukan,” katanya.

-- BERNAMA